ALLAHYARHAM Sarkasi Said merupakan perintis karya seni batik yang telah mempamerkan jenama seni Singapuranya di banyak negara, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam catatan penghormatannya terhadap ikon seni batik tersohor itu.
"Beliau adalah pengasas seni batik di Singapura, dan karya-karyanya telah dipamerkan di banyak negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Jepun, Brunei, dan Indonesia," tulis PM Lee.
Beliau menambah, karya seni Allahyarham bertemakan orkid mencipta Rekod Dunia Guinness pada 2003 bagi lukisan batik terpanjang.
"Amat terkesan menerima berita pemergian Pak Sarkasi Said," tulisnya.
Menurut PM Lee, Allahyarham Pak Sarkasi tidak pernah lupa akan asal usulnya dan berusaha sedaya upaya memupuk barisan pelapis penggiat seni batik dalam kalangan generasi seterusnya.
Beliau juga, kata PM Lee, komited membangunkan landskap kesenian dan kebudayaan tempatan kita.
"Saya akan sentiasa mengingati Pak Sarkasi kerana beliau menghasilkan beberapa baju batik yang saya kenakan bagi acara-acara kebangsaan.
"Pemergian beliau akan sangat-sangat dirasakan oleh golongan seniman dan rakyat Singapura yang menjadikan beliau sebagai sumber inspirasi.
"Ucapan takziah buat keluarga Pak Sarkasi. Kita turut berdukacita atas pemergian beliau," ujar PM Lee.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg