Sejak dipilih pada 2017 sebagai Presiden ke-8 Singapura, Presiden Halimah Yacob telah menjadi inspirasi dan simbol perpaduan yang kuat untuk seluruh rakyat Singapura menerusi kepimpinannya yang kukuh dan berjiwa rakyat, kata Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong.
Dalam ucapannya semasa majlis perpisahan Puan Halimah pada Rabu di Istana, Encik Lee memberikan penghargaan kepada Puan Halimah atas keupayaannya untuk menyatukan negara menerusi empati dan keprihatinannya terhadap nasib rakyat Singapura dari semua lapisan masyarakat, terutama sekali semasa pandemik Covid-19.
“Semasa pandemik Covid-19, di tengah-tengah suasana yang tidak menentu, anda tampil untuk menjadi antara yang pertama mengambil vaksin, dan memimpin melalui teladan. Apabila kita terpaksa menjalani sekatan jarak selamat, anda terus memberikan semangat kepada rakyat Singapura menerusi alam maya.
“Apabila keadaan mengizinkan, anda melawat petugas barisan hadapan, dan kemudiannya meraikan mereka di Istana untuk memberikan penghargaan dan mengiktiraf pengorbanan mereka. Kehadiran dan keprihatinan anda memberikan semangat,” kata Encik Lee.
Encik Lee juga menambah, kejayaan Puan Halimah sebagai Presiden – yang datang dari latar belakang sederhana – menunjukkan sistem meritokrasi Singapura berfungsi, dan setiap rakyat Singapura boleh mencapai aspirasi mereka, tanpa mengira bangsa, bahasa, atau agama, dan tanpa mengira latar belakang keluarga atau kedudukan dalam kehidupan.
Dalam ucapannya, Encik Lee turut menekankan keprihatinan Puan Halimah terhadap kesaksamaan jantina, menyokong golongan kurang upaya dan kebimbangannya terhadap isu kesihatan mental di kalangan belia.
“Setiap tahun, anda melantik wanita yang telah membuat sumbangan cemerlang ke dalam Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura. Sebagai Penaung Majlis Kepelbagaian Lembaga (CBD) dan Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO), anda berkongsi pengalaman peribadi anda dalam dialog dan menggalak wanita untuk mencapai lebih daripada apa yang mereka mampu.
“Di bawah Ikrar Pengupayaan Pekerjaan Cabaran Presiden, anda menyokong ruang kerja dan dasar pekerjaan yang lebih inklusif dan mudah diakses. Anda kerap melawat agensi kebajikan sosial untuk memahami cabaran yang dihadapi oleh orang kurang upaya, dan untuk menggalak majikan dan warga Singapura supaya lebih menerima dan memahami terhadap mereka.
“Anda melancarkan program Menyokong Belia dalam Masyarakat untuk menyediakan belia dengan sokongan psikososial. Program ini telah membantu ramai anak muda untuk mengatasi masalah mental mereka dan bangkit daripada detik-detik gelap dalam hidup mereka,” kata Encik Lee.
Puan Halimah juga menggunakan hubungan rapatnya dengan pergerakan buruh untuk mengetengahkan kepentingan pekerja, terutamanya bagi pekerja yang bergaji rendah.
Ini termasuk melancarkan Dana Keperkasaan Hidup (Empowering For Life Fund) untuk menawarkan sokongan yang disesuaikan untuk peningkatan kemahiran dan bantuan pekerjaan kepada individu yang terdedah.
Puan Halimah juga berjaya mengumpul $17.3 juta menerusi Cabaran Presiden pada 2022 untuk membantu kumpulan paling teruk dilanda Covid-19.
Perdana Menteri turut menghargai Puan Halimah kerana menjalankan peranan menjaga rizab negara dengan cemerlang, terutamanya semasa pandemik koronavirus apabila beliau perlu meneliti permintaan pemerintah untuk mengeluarkan sehingga $69 bilion daripada rizab negara untuk menangani krisis.
“Dengan nasihat Majlis Penasihat Presiden, anda bekerja rapat dengan pemerintah untuk memahami keadaan yang semakin getir, untuk menilai maklum balas dan permintaan yang dicadangkan pemerintah, dan untuk memastikan penggunaan rizab yang diminta adalah perlu dan wajar.
“Ini membolehkan pemerintah bergerak pantas dan yakin untuk menangani krisis, tanpa perlu menanggung beban hutang yang banyak dan membebankan generasi akan datang. Dengan sokongan anda, pemerintah dapat menyelamatkan nyawa, memantapkan ekonomi, memelihara pekerjaan, dan memastikan Singapura muncul lebih berdaya tahan dan lebih kuat daripada kesan Covid-19.
Di luar Singapura, Puan Halimah juga mewakili Singapura di persada dunia dan mengukuhkan hubungan dan persahabatan republik ini dengan banyak negara, kata Encik Lee.
Semasa ucapannya, Encik Lee juga mengucapkan terima kasih kepada suami Puan Halimah, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee, yang memainkan peranan penting dalam menyokong Puan Halimah sepanjang perjalanannya.
“Beliau sentiasa berada di sisi anda semasa anda menjalankan tugas rasmi, sama ada semasa bertemu dengan orang kenamaan asing atau bertemu rakyat Singapura. Sifatnya yang tenang dan tidak formal melengkapkan kemesraan dan pendekatan anda sendiri,” kata Encik Lee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg