PERDANA Menteri Lee Hsien Loong semalam berkesempatan bertemu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar, kiri), di Tokyo.

Encik Lee sedang mengadakan lawatan kerja ke ibu kota Jepun itu sempena Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia yang ke-27 yang dianjurkan Nikkei Inc.

Dalam kiriman di media sosial semalam Encik Lee berkata:

"Amat baik dapat bertemu PM@ismailsabri60 (Datuk Ismail Sabri) di Tokyo. Kami kali terakhir bertemu di Puncak Khas Asean-AS awal bulan ini.

"PM Ismail Sabri juga akan berucap di sidang Masa Depan Asia minggu ini."

Semalam, Encik Lee bersama anggota delegasinya juga menghadiri jamuan malam bersama Liga Persahabatan Parlimen Singapura-Jepun (JSPFL).

Kumpulan itu yang ditubuhkan pada 1997, adalah platform penting yang mengukuhkan hubungan parlimen kededua negara.

Pengerusi JSPFL masa ini ialah Encik Kono Taro. Beliau pada masa yang sama merupakan Pengerusi Ibu Pejabat Perhubungan Awam Parti Demokratik Liberal (LDP).

Encik Kono, yang sebelum ini bekerja di Singapura dalam sektor swasta, merupakan rakan karib Singapura.