PERDANA Menteri Lee Hsien Loong berada di Mahkamah Tinggi pada Selasa (6 Oktober) bagi menghadiri permulaan perbicaraan empat hari dalam kes saman fitnah yang dikenakan beliau terhadap penulis blog dan penasihat kewangan Encik Leong Sze Hian.

Encik Lee, yang diwakili oleh peguam kanan Davinder Singh dari Davinder Singh Chambers, akan menjadi saksi untuk memberi bukti dan di soal siasat di perbicaraan itu, yang diadili oleh Hakim Aedit Abdullah.

Encik Leong diwakili peguam dan tokoh politik pembangkang Lim Tean dari Carson Law Chambers.

Encik Lee mengambil tindakan saman fitnah terhadap Encik Leong berkenaan pos di Facebook yang dikongsi oleh Encik Leong pada 7 November 2018, yang mengandungi pautan kepada artikel yang ditulis oleh The Coverage, sebuah laman berita dari Malaysia.

Artikel itu mengandungi dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak telah menandatangani 'perjanjian rahsia' dengan Encik Lee untuk mendapatkan pertolongan bank-bank di Singapura untuk mengubah wang dari dana negara Malaysia 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini ditenggelami skandal.

Peguam Encik Lee berkata dakwaan itu adalah 'palsu dan tidak berbukti' dan 'amat memfitnah' dan adalah jelas Encik Leong menerbitkan pos itu kerana 'berniat jahat dan untuk merosakkan klien kami'.

Encik Lee menuntut ganti rugi dan perintah mahkamah untuk mengadang Encik Leong daripada menerbitkan atau menyebar dakwaan fitnah itu, atau dakwaan lain yang mencadangkan Encik Lee bersubahat berhubung 1MDB.

Membela dirinya, Encik Leong menafikan beliau berniat jahat dan telah menyahterbit pos Facebook itu pada 10 November 2018, selepas diberitahu supaya berbuat demikian oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Encik Leong juga berkata bahawa artikel itu, bagaimana Singapura dan Encik Lee menjadi sasaran dalam siasatan 1MDB adalah 'hal kepentingan awam... sama ada ia benar atau tidak'.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti