PERDANA Menteri Lee Hsien Loong berkata beliau gembira Facebook komited untuk bekerjasama dengan rakan kongsi dalam menangani berita palsu di media sosial, selepas pertemuan dengan ketua pegawai operasi (COO) syarikat Amerika Syarikat itu, Sheryl Sandberg kelmarin.
Dalam catatan Facebook semalam, PM Lee berkata bahawa beliau telah bercakap dengan Cik Sandberg - pegawai nombor dua di syarikat gergasi teknologi itu - mengenai beberapa perkembangan terkini di Facebook.
"Sebagai pengguna kerap laman Facebook, saya gembira bertemu COO Facebook, Sheryl Sandberg semalam," tulisnya.
"Salah satu isu yang banyak mengisi perbualan kami adalah tentang berita palsu di wadah sosial.
"Saya gembira Facebook komited bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menangani masalah yang sangat penting dan serius ini."
Pada bulan lalu, Facebook berkata ia sedang menguji ciri baru untuk membolehkan pengguna mendapatkan konteks yang lebih jelas tentang sumber berita sebagai langkah membendung maklumat salah.
Ciri baru itu membolehkan pengguna mendapatkan konteks sumber artikel sesebuah artikel dengan satu klik tanpa meninggalkan Facebook.
PM Lee berkata Cik Sandberg, dalam perjalanan ke Danang, Vietnam, untuk menghadiri Sidang Puncak Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sempena Mesyuarat Menteri Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) apabila beliau singgah ke Singapura untuk bertemu masyarakat Facebook di Singapura, selain melawat ibu pejabat Facebook di Asia Pasifik.
Beliau telah bertemu lapan "pemimpin masyarakat serantau" dari Indonesia, India, Filipina, Singapura dan Thailand di acara Masyarakat Facebook Asia Pasifik pertama yang berlangsung di Marina Bay Sands.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg