PERDANA Menteri Lee Hsien Loong menggesa negara-negara supaya berganding bahu dan menangani penyakit kencing manis, yang menjejas lebih 420 juta orang di seluruh dunia.
Dalam satu ucapan di pelancaran Perjanjian Diabetes Global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin, Encik Lee turut membentangkan usaha Singapura untuk memerangi penyakit itu sepanjang lima tahun lalu.
Usaha itu termasuk peraturan yang lebih ketat mengenai iklan dan penjualan minuman bergula hingga usaha menggalak pemeriksaan kesihatan di peringkat seluruh negara, kata Encik Lee.
Bagi mereka yang menghidap penyakit ini, negara ini juga berusaha untuk mengoptimumkan rawatan dan mencegah komplikasi.
"Mempercayai bahawa pencegahan lebih baik daripada mengubati, kami sangat mendorong warga Singapura untuk mengamalkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat," kata Encik Lee dalam satu ucapan menerusi video.
Perjanjian itu bertujuan untuk membantu negara melaksanakan program yang berkesan untuk mencegah dan menguruskan diabetes, yang boleh menyebabkan komplikasi dan kematian jika tidak dirawat dengan baik.
Kira-kira 6 peratus penduduk dunia menghidap diabetes, dengan jumlah pesakit diabetes dijangka meningkat melebihi 500 juta menjelang 2030.
Di Singapura, lebih 400,000 orang menghidap diabetes, dengan satu dalam tiga orang dijangka menghidap penyakit ini dalam kehidupan mereka.
Beban kos diabetes - termasuk perbelanjaan perubatan dan kehilangan produktiviti - adalah lebih $940 juta pada 2014. Ini dijangka meningkat kepada $1.8 bilion menjelang 2050.
Selain menyebabkan masalah kesihatan seperti serangan jantung dan strok, "penyakit yang tidak kelihatan" ini boleh menyulitkan rawatan penyakit lain, termasuk Covid-19.
Dalam ucapannya, PM Lee memberi beberapa contoh usaha Singapura untuk mencegah penyakit itu, termasuk memastikan minuman bergula dalam bungkusan menunjukkan label pemakanan dengan gred antara 'A' dengan 'D' bermula akhir tahun ini.
Peruncit juga akan dilarang mengiklankan minuman gred 'D' di semua platform.
Negara ini juga mendorong orang ramai untuk menjalankan kegiatan fizikal secara kerap untuk mengekalkan kecergasan dan mengurangkan kegemukan, yang boleh membawa kepada penyakit kencing manis.
Selain itu, Pusat Diabetes SingHealth Duke-NUS mengumpulkan pakar dan profesional kesihatan bersekutu untuk membantu pesakit diabetes menguruskan keadaan mereka dengan lebih baik.
Ini termasuk pekerja sosial perubatan dan doktor podiatri (pakar kaki) yang boleh membantu pesakit kencing manis yang mengalami komplikasi di bahagian kaki.
"Marilah kita terus bekerjasama untuk berkongsi pengalaman dalam mencegah dan mengurus penyakit ini, dan menjadikan rakyat kita lebih bahagia dan sihat," kata PM Lee.
Pelancaran Perjanjian Diabetes Global bertepatan dengan ulang tahun ke-100 penemuan insulin, hormon yang membantu mengawal kadar gula dalam darah.
Bagi ramai orang yang menghidap diabetes, badan mereka tidak dapat menghasilkan hormon ini atau hormon itu menjadi kurang berkesan.
Selain memaparkan pandangan wakil pemerintah, acara tersebut juga akan memaparkan perspektif daripada pesakit mengenai kekurangan akses kepada rawatan diabetes yang berpatutan di seluruh dunia.
Sebahagian daripada acara pelancaran itu juga akan memberi tumpuan kepada insulin dan penyelidikan terbaru mengenai topik ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg