Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Lee hargai kerjasama erat SG-Johor

Jul 21, 2022 | 5:30 AM
NAMA ORKID SEMPENA LAWATAN DIABADI: Sultan Ibrahim dan isteri, Raja Zarith Sofiah (kededuanya paling kiri), dihadiahkan bunga orkid yang mengabadikan nama mereka - Dendrobium Ibrahim Zarith - sebagai penghormatan di atas lawatan rasmi Sultan ke Singapura. Turut dalam gambar ialah PM Lee dan isteri. - Foto MCI
NAMA ORKID SEMPENA LAWATAN DIABADI: Sultan Ibrahim dan isteri, Raja Zarith Sofiah (kededuanya paling kiri), dihadiahkan bunga orkid yang mengabadikan nama mereka - Dendrobium Ibrahim Zarith - sebagai penghormatan di atas lawatan rasmi Sultan ke Singapura. Turut dalam gambar ialah PM Lee dan isteri. - Foto MCI -

SEBAGAI pintu masuk utama antara Singapura dengan Malaysia, Johor memainkan peranan penting dalam mengekalkan kerjasama erat serta hubungan baik antara Singapura dengan Malaysia.

Ini sangat penting terutama semasa pandemik Covid-19, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam ucapan semasa jamuan tengah hari rasmi di Istana semalam bagi meraikan lawatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, ke Singapura.

Encik Lee menambah, sokongan Sultan Ibrahim membolehkan talian bekalan merentasi sempadan darat dikekalkan.

"Kami juga bekerja rapat dengan Yayasan Sultan Ibrahim Johor untuk menyumbang vaksin dan bekalan perubatan kepada Johor," ujar beliau.

Sultan Ibrahim dan isteri, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, tiba di sini pagi semalam bagi lawatan rasmi selama tiga hari atas undangan rasmi Encik Lee.

Dalam kenyataan di Facebook, Sultan Ibrahim berkata beliau berbesar hati atas jemputan itu dan menghargai kepimpinan, visi serta aspirasi PM Lee dalam memajukan dan memakmurkan negara itu.

"Kerjasama selama bertahun-tahun dan persefahaman erat dengan Singapura dalam pelbagai aspek telah memberi manfaat kepada Johor, terutama dalam pembangunan sosio-ekonominya.

"Saya juga mendoakan kesihatan anda (Encik Lee) yang baik serta Singapura yang makmur dan sejahtera," ujarnya.

Sebelum jamuan tengah hari, Sultan Ibrahim dihadiahkan bunga orkid yang mengabadikan nama Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah pada hibrid orkid baru - Dendrobium Ibrahim Zarith - sebagai penghormatan di atas lawatan rasmi berkenaan.

Sultan Ibrahim dan isterinya juga telah bertemu dengan Presiden Halimah Yacob dan suami, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee, untuk jamuan petang semalam.

Dalam lawatan tiga hari itu, Sultan Ibrahim dijangka turut berkunjung ke tapak Projek laluan Sistem Transit Laju (RTS) di Woodlands, Iseas-Institut Yusof Ishak dan Pangkalan Udara Sembawang.

Raja Zarith Sofiah pula akan berkunjung ke sekolah pelajar istimewa di sekolah kendalian Persatuan Golongan Keperluan Khas, APSN Delta Senior School, dan Muzium Tamadun Asia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg