PERDANA Menteri Lee Hsien Loong menghargai kerjasama dan kecekalan masyarakat Melayu/Islam lantas ingin melahirkan penghargaan buat pemimpin masyarakat, asatizah serta masjid-masjid di sini kerana sabar dan cekap mematuhi peraturan untuk sama-sama mengekang penularan Covid-19.

Menurutnya dalam lampiran pos sempena sambutan Ramadan di Facebook pada Sabtu (2 April), segala kerja keras dan pengorbanan golongan ini ternyata membuahkan hasil.

"Kita belum lagi tiba di garisan penamat, walaupun kita semakin hampir. Marilah kita bersatu padu. Bersama, kita mampu mengatasi Covid-19 dan bangkit dengan lebih kukuh," jelas Encik Lee.

Awal sebelum itu, beliau menyatakan sepanjang dua tahun, masyarakat Islam terpaksa menyesuaikan diri dengan sekatan Covid-19 - dari masjid-masjid yang ditutup, sehinggalah ke bilangan jemaah di masjid yang terhad.

"Dengan pelonggaran langkah-langkah penjagaan selamat baru-baru ini, Ramadan tahun ini dijangka lebih meriah.

"Kegiatan ibadah seperti solat terawih sudah boleh diadakan. Kita juga boleh sekali lagi menikmati bazar kegemaran ramai di bulan Ramadan dan hiasan lampu Hari Raya yang indah di Geylang Serai dan Kampong Gelam selepas dua tahun menyepi...Selamat menjalani ibadah puasa," tambah Encik Lee.