Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Lee lahir harapan kuota haji ditambah kepada Putera Mahkota Saudi

Turut alu-alu peningkatan hubungan diplomatik yang sambut 45 tahun dalam satu panggilan telefon
Feb 10, 2022 | 5:30 AM
MENANTI PELUANG BERTEMU SEMUKA: Encik Lee Hsien Loong berkata beliau menantikan peluang menemui Putera Mahkota Arab Saudi Mohammad Salman secara semuka apabila keadaan membenarkan. Gambar ini diambil pada pertemuan terakhir mereka pada Jun 2019. - Foto MCI
MENANTI PELUANG BERTEMU SEMUKA: Encik Lee Hsien Loong berkata beliau menantikan peluang menemui Putera Mahkota Arab Saudi Mohammad Salman secara semuka apabila keadaan membenarkan. Gambar ini diambil pada pertemuan terakhir mereka pada Jun 2019. - Foto MCI -

PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, telah meluahkan harapan agar permintaan Singapura supaya kuota haji bagi negara ini ditambah akan dipertimbang dengan baik apabila ibadah haji disambung bagi jemaah antarabangsa.

Beliau berkata demikian kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammad Salman, dalam satu panggilan telefon kelmarin.

"Negara kita menyambut 45 tahun hubungan diplomatik tahun ini, dan kami mengalu-alukan peningkatan hubungan, termasuk kerjasama ekonomi melalui Jawatankuasa Bersama Saudi-Singapura," tulis Encik Lee dalam satu catatan Facebook.

"Kami juga membincangkan perkembangan di Arab Saudi.

"Saya menyuarakan harapan agar permintaan Singapura supaya kuota haji kami ditambah akan dipertimbang dengan baik apabila haji disambung untuk jemaah antarabangsa," tambah beliau.

Berita Harian melaporkan sebelum ini bahawa sekitar 38,000 pemohon telah mendaftar dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk menunaikan haji pada tahun-tahun mendatang.

Buat masa ini, Arab Saudi memperuntuk 900 tempat rasmi untuk Muslim Singapura setiap tahun, dan pemohon boleh menjangka penantian sekurang-kurangya 39 tahun untuk menunaikan haji.

Sejumlah 900 jemaah Singapura menunaikan haji pada 2019 selepas kuota haji ditambah 100 tempat.

Kuota rasmi ditetapkan berdasar formula 0.1 peratus penduduk Islam di Singapura, sesuatu yang diputuskan oleh Pertubuhan Persidangan Islam (IOC) pada 1987.

Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan bahawa Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, berharap ibadah haji dapat disambung tahun ini, dan keutamaan akan diberikan kepada sekitar 38,000 orang di sini yang "sekian lama bersabar menanti giliran mereka" untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Beliau berkata jika dibenarkan, kemungkinan besar akan terdapat beberapa penyesuaian yang dilakukan sejajar langkah pengurusan selamat di Tanah Suci disebabkan keadaan pandemik Covid-19 ini.

"Muis akan memberi tumpuan dengan memberi peluang kepada mereka yang sekian lama bersabar menanti giliran mereka.

"Setakat ini, terdapat 38,000 orang yang sudah pun berdaftar di dalam sistem, untuk mengerjakan rukun Islam kelima ini.

"Muis akan terus bekerja rapat dengan pihak GSA (ejen penjualan pakej haji dan umrah) serta pihak berkuasa untuk memastikan ibadah yang lancar dan selamat bagi mereka yang menerima seruan ke Baitullah," katanya.

Kerajaan Arab Saudi melarang jemaah antarabangsa melakukan ibadah haji pada 2020 dan 2021 demi membendung penularan pandemik Covid-19.

Tahun lalu, lebih 58,000 jemaah menunaikan haji di bawah langkah keselamatan Covid-19 yang ketat.

Angka itu merangkumi lebih 33,000 jemaah Arab Saudi dan sekitar 25,000 jemaah warga asing yang bermukim di negara itu.

Tahun sebelumnya - 2020 - adalah kali pertama sejak berdekad lalu warga asing dilarang menunaikan haji disebabkan pandemik itu.

Pada tahun itu, hanya 1,000 orang dalam kalangan warga Arab Saudi dan penduduk tempatan diizinkan menunaikan haji.

Duta Besar Arab Saudi ke Singapura, Encik Abdullah Mohammed AlMadhi, dilaporkan berkata haji tahun ini bergantung pada keadaan pandemik sepanjang bulan-bulan akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg