Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Lee pengerusi mesyuarat Kabinet buat kali terakhir

May 9, 2024 | 7:40 PM
Encik Lee Hsien Loong (barisan kiri, lima dari kiri) mengadakan mesyuarat Kabinet terakhir sebagai Perdana Menteri sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (barisan kiri, tujuh dari kiri) pada 15 Mei ini.
Encik Lee Hsien Loong (barisan kiri, lima dari kiri) mengadakan mesyuarat Kabinet terakhir sebagai Perdana Menteri sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (barisan kiri, tujuh dari kiri) pada 15 Mei ini. - Foto MCI

Singapura akan berada dalam jagaan yang baik di bawah pasukan pemimpin generasi keempat (4G), kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang mempengerusikan mesyuarat Kabinetnya yang terakhir pada 9 Mei.

Beliau akan menyerahkan tampuk pimpinan negara kepada timbalannya, Encik Lawrence Wong, dalam tempoh kurang seminggu, pada 15 Mei ini.

“Singapura akan berada dalam jagaan yang baik di bawah pasukan 4G (pemimpin Generasi Keempat) dan saya bersedia menyokong pasukan baru itu dalam usaha mereka untuk memajukan Singapura,” kata Encik Lee dalam catatan yang dimuat naik ke Facebook pada 9 Mei.

Encik Lee berkata, memimpin pasukan Kabinetnya sepanjang dua dekad “adalah satu keistimewaan” dan beliau mengucapkan terima kasih kepada rakan sekerjanya atas sokongan mereka.

Beliau berkata: “Kami telah mengadakan mesyuarat Kabinet mingguan tahun demi tahun – walaupun semasa wabak (pandemik Covid-19), di mana kami terpaksa beralih kepada persidangan menerusi video. Mesyuarat ini merupakan wadah penting untuk membincangkan isu nasional, dasar utama dan perkara yang mempengaruhi semua kehidupan kita. 

“Ia adalah satu keistimewaan untuk saya memimpin pasukan Kabinet saya sejak 20 tahun yang lalu.”

Pada 15 April lalu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan Encik Lee akan mengundurkan diri dan Encik Wong, selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, akan dilantik ke jawatan itu pada 15 Mei ini.

Encik Lee ialah Perdana Menteri ketiga Singapura, menyandang jawatan itu sejak 12 Ogos 2004. 

“Dalam Kabinet, Perdana Menteri adalah “primus inter pares” – bukan bos dengan orang bawahannya, tetapi yang pertama di kalangan rakan sekerja yang setaraf, semua berbincang bersama untuk mencari penyelesaian terbaik untuk Singapura. Saya berterima kasih kepada rakan sekerja saya atas sokongan padu mereka,” tambah beliau.

Encik Lee akan kekal dalam Kabinet dan menggalas jawatan Menteri Kanan susulan pelantikan Encik Wong.

“Mulai minggu depan, Perdana Menteri Lawrence Wong akan meneraju mesyuarat Kabinet, tetapi saya akan terus menyumbang sebagai Menteri Kanan,” ujar Encik Lee lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg