PRESIDEN Indonesia, Encik Joko Widodo, akan melawat Singapura pada 16 Mac bagi Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia bersama Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.
Ini merupakan Rahat Pemimpin keenam Encik Lee dengan Encik Widodo (Jokowi).
Rahat Pemimpin sebelum ini diadakan di Bintan, Indonesia, pada 25 Januari 2022.
Encik Lee dan Encik Jokowi akan mengkaji kemajuan ketara dalam kerjasama dua hala sejak Rahat yang lalu, termasuk pengesahan tiga perjanjian di bawah Rangka Kerja Diperluas, yang penandatangannya disaksikan oleh kedua-dua ketua negara itu semasa Rahat sebelumnya.
Tiga perjanjian di bawah Perjanjian Rangka Kerja Diperluas itu ialah Perjanjian Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR), Perjanjian Kerjasama Pertahanan (DCA) dan Perjanjian Ekstradisi (ET).
Di bawah FIR, kedua-dua negara bersetuju menjajarkan semula sempadan antara FIR Singapura dengan Jakarta bagi tempoh 25 tahun yang boleh dilanjutkan dengan kebenaran kedua pihak.
FIR ialah sempadan udara yang menggariskan tanggungjawab pengurusan ruang udara bagi penguasa penerbangan awam agar pesawat dapat terbang dengan selamat dan berkesan.
Ketika ini, FIR Singapura yang diberikan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada 1946, meliputi ruang udara di Laut China Selatan serta Kepulauan Riau seperti Batam, Bintan dan Natuna.
Dengan perjanjian terbaru itu, Indonesia mendelegasikan sebahagian khidmat navigasi bagi ruang udara dalam FIR Jakarta ke Singapura.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, kedua-dua Encik Lee dan Encik Jokowi bakal membincangkan pengukuhan kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi, sosiobudaya dan keselamatan.
Mereka juga akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) yang telah ditandatangani sebelum Rahat ini.
Ini termasuk MOU dalam bidang kuasa seperti tenaga, kemampanan, kesihatan dan pembangunan modal insan, selain bidang-bidang tradisional seperti keselamatan.
Mereka juga akan bertukar pandangan mengenai pembangunan serantau dan global.
Semasa Rahat kali ini, Encik Lee akan menjadi tuan rumah makan tengah hari bagi Encik Jokowi dan delegasi Indonesia.
Encik Jokowi diiringi delegasi peringkat tinggi yang terdiri daripada Menteri dan pegawai berpangkat Menteri.
Delegasi Singapura pula termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong; Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean; serta Menteri Kabinet lain.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg