ISU perkauman memang selalunya peka untuk dibicarakan tetapi kita boleh membincangkannya secara jujur dan merapatkan persefahaman tanpa perlu menyinggung perasaan atau bersikap defensif, sebagaimana sembilan orang yang diwawancara dalam video mengenai kaum dan perkauman terbitan zaobao.sg.
Ini dinyatakan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, dalam catatan di Facebook semalam sambil berkongsi pautan video tersebut.
Encik Lee menarik perhatian tentang video Lianhe Zaobao yang disifatkan sebagai "yang sangat mencetus pemikiran".
Video itu mengetengahkan interviu dengan sembilan rakyat Singapura daripada pelbagai latar belakang dan usia, yang berkongsi pandangan tentang kaum dan perkauman.
"Ia merupakan perbincangan terbuka dan tepat pada masanya. Dengan Hari Keharmonian Kaum menjelang tidak lama lagi, saya harap kita akan mengkaji sikap kita sendiri dan bagaimana jika kita berada di tempat orang lain, demi lebih menghargai apa yang dirasakan orang lain.
"Kita tidak boleh mengambil mudah soal keharmonian kaum di Singapura.
"Isu perkauman selalunya sensatif. Tetapi sebagaimana yang ditunjukkan oleh sembilan orang yang diinterviu ini, kita boleh mengadakan perbincangan yang jujur dan sopan dan merapatkan persefahaman tanpa menyinggung perasaan, atau bersikap defensif.
"Ini adalah tanda yang menggembirakan bahawa kita dapat membina masyarakat berbilang bangsa yang lebih padu," ujar beliau.
Video itu antara lain membincangkan tentang apakah itu diskriminasi kaum dan menimbulkan persoalan sama ada masyarakat Cina di Singapura menikmati keistimewaan sebagai bangsa majoriti.
Ini kerana hari demi hari, semakin ramai orang tidak memahami idea masing-masing, bahkan sering berbalah mengenai isu perkauman, kata zaobao.sg dalam penerangan video itu.
Antara yang diketengahkan untuk berkongsi pandangan termasuk Penolong kepada Editor, Berita Harian, Encik Nazri Hadi Saparin.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg