PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, akan menyampaikan ucapan Rapat Hari Kebangsaan tahun ini di ibu pejabat Institut Pendidikan Teknikal (ITE) di Ang Mo Kio Ahad ini (21 Ogos), menurut Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan pada Isnin (15 Ogos). Encik Lee akan berucap dalam bahasa Melayu pada 6.45 petang, bahasa Mandarin pada 7 malam, dan bahasa Inggeris pada 8 malam. Ucapan Rapat Hari Kebangsaan itu akan disiarkan di saluran televisyen seperti Suria, Channel 5, CNA, Channel 8, Channel U dan Vasantham serta stesen radio setempat termasuk Warna, CNA938, Capital 95.8FM dan Oli 96.8FM. Menurut kenyataan itu, ucapan tersebut juga akan disiarkan secara langsung menerusi wadah dalam talian termasuk di YouTube PMO, laman Facebook Encik Lee, laman Facebook REACH, YouTube CNA serta laman web Mewatch.sg, cna.asia, dan 8world.com. Orang ramai juga boleh menyertai perbincangan berhubung ucapan itu menerusi laman Facebook dan Twitter Encik Lee sedang ia disampaikan. Rapat Hari Kebangsaan selalunya digunakan sebagai wadah untuk menyampaikan cabaran utama, perubahan dasar dan pencapaian negara. Ucapan Perdana Menteri di rapat tersebut dianggap sebagai ucapan politik paling penting setiap tahun. Ramai pemerhati politik dijangka memerhatikan ucapannya tahun ini, di tengah-tengah pelarasan dunia kepada norma baru dan jangkaan butiran lanjut mengenai penggantian kepimpinan politik Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg