SATU pameran bergerak yang menyorot dan meraikan pembangunan wanita di Singapura telah dilancarkan di Plaza Singapura semalam, menyusuli perbincangan dan kertas putih mengenai topik tersebut.
Pelancaran Pameran Raikan Wanita SG itu dihadiri Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong; dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Turut hadir ialah penjawat politik yang menerajui perbincangan mengenai wanita Singapura - Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan), Cik Sun Xueling; Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling; dan Setiausaha Parlimen (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Dibuka kepada orang ramai secara percuma, pameran bergerak itu dilancarkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) di Plaza Singapura semalam dan akan berlangsung hingga 3 Mei ini.
Kemudian, pameran itu akan dipindahkan ke sekurang-kurangnya empat tempat lain di kawasan kejiranan antara Mei dengan September - HDB Hub di Toa Payoh (7 hingga 22 Mei), Bukit Panjang Plaza (28 Mei hingga 12 Jun), Kampong Admiralty (18 Jun hingga 3 Julai), dan Our Tampines Hub (tarikhnya belum ditentukan).
Pameran itu akan menyorot pembangunan wanita dari tahun-tahun awal Singapura hingga sekarang, dan membentangkan wawasan untuk masa depan, sedang Singapura berusaha mencapai tahap masyarakat yang lebih adil dan inklusif, menurut satu kenyataan semalam.
Sepanjang tahun lalu, pemerintah mengadakan perbincangan mengenai pembangunan wanita Singapura, melibatkan hampir 6,000 peserta dalam lebih 160 perbincangan.
Hasil perbincangan itu, satu Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura telah dibentangkan, dibahaskan dan disokong di Parlimen.
Kertas putih itu membentangkan pelan tindakan untuk 10 tahun mendatang bagi menangani keprihatinan golongan wanita serta memenuhi aspirasi mereka.
Pameran itu pula akan mengiktiraf usaha perintis yang menyumbang kepada kemajuan wanita Singapura hari ini, dengan zon 'Perintis Kemajuan' menonjolkan pameran miniatur, pengalaman WebAR (Realiti Terimbuh), dan pameran mengenai detik penting kemajuan wanita Singapura dari 1961 hingga 2019.
Segmen 'Pembentuk Kejayaan' pula akan menekankan mesej pentingnya usaha masyarakat yang bersatu padu untuk mengatasi isu yang dihadapi wanita.
Pameran itu juga akan membentangkan pengajaran utama dan perubahan minda yang diperlukan untuk mencapai tahap masyarakat yang lebih adil dan inklusif.
Pengunjung juga boleh mendapatkan edisi terhad Kad Nets FlashPay Meraikan Wanita Singapura daripada satu mesin layan diri selepas menyertai satu kuiz.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg