PERDANA Menteri Lee Hsien Loong berkata beliau berada dalam keadaan baik selepas menerima dos pertama vaksin Covid-19 Jumaat lalu.
Memaklumkan demikian menerusi laman Facebook beliau semalam, Encik Lee turut mengucapkan tahniah kepada pelajar yang menerima anugerah Edusave di Teck Ghee semalam.
Encik Lee, yang merupakan anggota Kabinet pertama menerima vaksin tersebut, akan disuntik lagi bagi dos kedua dalam sekitar tiga minggu lagi.
Tambahnya, beliau turut menggalak ibu bapa yang menemani anak mereka untuk menerima anugerah Edusave itu supaya mengambil vaksin tersebut apabila tiba giliran mereka.
Meskipun cuaca hujan semalam, Encik Lee berkata ini tidak menjejas kegembiraan penerima anugerah tersebut.
"Kami biasanya mengadakan sambutan yang lebih besar tetapi dengan pandemik ini, kami harus mengurangkan skalanya dan memastikan jarak, untuk mengadakan acara ini dengan selamat.
"Anugerah ini mengiktiraf kejayaan dan usaha akademik pelajar di sekolah, dan sama penting juga, keperibadian mereka serta sumbangan mereka kepada masyarakat.
"Tahniah kepada semua! Kami bangga atas pencapaian anda, lebih-lebih lagi dalam tahun yang cukup mencabar ini," ujar Encik Lee.
Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat turut mengucapkan tahniah kepada pelajar yang menerima anugerah itu tahun ini serta keluarga mereka.
Menerusi laman Facebook beliau, Encik Heng berkata ini merupakan kali pertama beliau menyampaikan anugerah di Bedok dan juga yang pertama menerusi dalam talian.
Tambahnya, pihak penganjur turut mengadakan sesi ramah mesra dan permainan bagi penerima anugerah.
Menerusi sesi tersebut, Encik Heng berkata beliau dapat mengenali mereka dan aspirasi mereka dengan lebih baik.
"Saya berharap pelajar kita akan terus mempunyai sikap ingin tahu dan terus menimba pengetahuan dalam tahun persekolahan yang baru ini.
"Saya juga berharap lebih ramai belia akan tampil menyumbang kepada masyarakat mereka," katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg