PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, menemui Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, di Washington DC malam tadi.
Pertemuan itu dijadual diadakan sekitar 10.30 malam waktu Singapura, iaitu selepas akhbar ini dicetak.
Encik Lee, yang sedang mengadakan lawatan kerja ke negara itu, juga dijangka berjumpa dengan Naib Presiden, Cik Kamala Harris, secara berasingan.
Encik Lee berada di Washington sejak Sabtu lalu, dan akan meneruskan lawatannya ke New York minggu ini.
Kelmarin, Encik Lee turut menemui Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Lloyd Austin, dan menegaskan semula hubungan pertahanan kuat antara Singapura dan Amerika serta peri penting kehadiran Amerika di rantau Asia Pasifik.
Singapura juga menandatangani Perjanjian Artemis kelmarin, menjadi negara ke-18 menyertai perjanjian antarabangsa yang menetapkan garis panduan bagi penerokaan angkasa lepas bertanggungjawab yang diketuai Amerika Syarikat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg