PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, bertemu secara langsung dengan Presiden China, Encik Xi Jinping, buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun di luar Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) pada Khamis (17 November) di Bangkok, Thailand. Menurut jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA), dua pemimpin itu sebelum ini pernah bertemu secara maya dan bercakap antara satu sama lain pada beberapa kesempatan semasa tempoh wabak Covid-19. Dalam mesyuarat kali ini, Encik Lee dan Encik Xi mengesahkan semula hubungan rapat dan pelbagai aspek antara Singapura dengan China, dan bagaimana kedua-dua pihak terus mengukuhkan kerjasama di tengah-tengah pandemik Covid-19 dan cabaran global yang semakin berkembang. Encik Xi memaklumkan kepada Encik Lee mengenai Kongres Kebangsaan Parti Komunis China (CPC) ke-20 dan rancangannya bagi pembangunan China. Encik Lee dan Encik Xi turut bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan dua hala, perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk mengenai kepentingan mengekalkan hubungan Amerika Syarikat-China yang stabil. Presiden Xi mengulangi undangannya kepada Encik Lee untuk melawat China, dan Encik Lee juga mengalu-alukan Encik Xi untuk melawat Singapura sekali lagi. Pemimpin Apec akan bermesyuarat pada sidang puncak tahunan mereka buat kali pertama secara peribadi sejak kali terakhir mereka bertemu di Papua New Guinea pada 2018.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg