Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Lee terima darjah tertinggi Johor daripada Sultan Ibrahim Iskandar
PM Lee terima darjah tertinggi Johor daripada Sultan Ibrahim Iskandar
PM Lee terima darjah tertinggi Johor daripada Sultan Ibrahim Iskandar

PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, menerima darjah tertinggi negeri Johor daripada Sultan Ibrahim Iskandar hari ini (6 Mei), sekali gus mengiktiraf hubungan rapat lagi kukuh antara Singapura dengan Johor.
Sultan Ibrahim bertitah hubungan Johor dengan Singapura sudah terjalin sejak sekian lama dan pengurniaan darjah kebesaran tertinggi daripada Istana Johor itu terus mengukuhkan hubungan dua hala. "Saya juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Singapura di atas peranan beliau selama ini dalam terus mengeratkan hubungan Singapura dan Johor," titah Sultan Ibrahim.
Titahnya itu dimuat naik dalam akaun Facebook rasminya selepas majlis pengurniaan darjah kebesaran yang diadakan dengan penuh istiadat di Istana Besar Johor.
Encik Lee dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Datuk Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ), yang membawa gelaran Datuk.
Encik Lee berkata beliau berbesar hati menerima penghormatan tersebut dan gembira berpeluang menghadap Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah, setelah dua tahun sempadan negara ditutup sebahagiannya untuk hampir dua tahun.
"Johor ialah pintu masuk penting antara Singapura dan Malaysia, dan kededuanya mempunyai hubungan istimewa.
"Saya gembira kita telah bertindak secara tegas untuk hidup bersama Covid-19 dan menyambung semula jalinan kita, agar orang ramai boleh merentas Koswe untuk berhubung semula dengan keluarga dan rakan, seperti yang saya lakukan hari ini," kata Encik Lee dalam satu kiriman di Facebook hari ini.
Beliau dijangka menyambut Sultan Ibrahim yang akan mengadakan lawatan rasmi ke Singapura tahun ini.
Dalam majlis istiadat yang sama itu, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Datuk Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) kepada isteri Encik Lee Hsien Loong, Cik Ho Ching, yang membawa gelaran Datin Paduka.
Cik Ho Ching merupakan warga Singapura pertama menerima pangkat itu.
