Tidak kira bagaimana format berita berubah, yang kekal penting ialah liputan bermutu tinggi dan berobjektif, wartawan yang dipercayai dan berpengaruh, serta media Cina yang terus menyatukan dan memberi inspirasi kepada generasi demi generasi warga Singapura, kata Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong.
Bercakap di majlis jamuan malam sambutan 100 tahun Lianhe Zaobao, akhbar bahasa Cina utama SPH Media Trust (SMT), pada Jumaat, Encik Lee berkata Zaobao amat sedar akan perlunya membangunkan dirinya menjadi sebuah platform berita berbilang media menyeluruh bagi mengekalkan pembacanya.
Namun, tiada siapa tahu bagaimana landskap media atau tabiat penggunaan media akan berubah dalam dekad akan datang dan seterusnya, kata beliau.
“Pemerintah akan menyediakan sokongan kepada SPH Media Trust kerana kami lihat pentingnya mempunyai media arus perdana bermutu tinggi, berwibawa dan berpengaruh.
“Maka, pemerintah akan terus menyokong Zaobao, agar warga Singapura boleh terus mempercayainya sebagai sebuah sumber berita dan maklumat selain kekal relevan kepada kehidupan.”
Di majlis di Hotel Shangri-La Singapore itu, Encik Lee, yang membaca Lianhe Zaobao setiap hari, juga menekankan tiga aspek penting yang menjadikan akhbar itu sebuah media Cina berwibawa bukan di Singapura, malah Asia.
Pertama, Zaobao sebuah mata arah bagi integriti kewartawanan.
“Terutama sekali dalam dunia digital hari ini, profesionalisme dan laporan bermutu Zaobao serta analisis mendalamnya yang menarik pembaca, meskipun timbul persaingan daripada media baru,” ujar Encik Lee.
Kedua, Zaobao memainkan peranan penting dalam mengukuhkan perpaduan dan identiti warga Singapura.
“Ia membantu membina konsensus nasional, yang kritikal dalam mengekalkan masyarakat yang bersatu, terutamanya di sebalik landskap maklumat yang lebih retak,” katanya.
Ketiga, ia menyediakan perspektif warga Singapura yang unik mengenai isu sejagat, dan menawarkan sebuah platform bagi pandangan yang pelbagai dan rasional.
“Contohnya, apabila melaporkan berita mengenai China, Taiwan dan Hong Kong, Zaobao menawarkan analisisnya yang bebas, dan mentafsirkan perkembangan ini daripada sudut perspektif Singapura,” kata Encik Lee.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg