Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Lee ucap tahniah kepada Perdana Menteri Palestin baru

Apr 6, 2024 | 2:58 PM
Perdana Menteri Penguasa Palestin yang baru dilantik, Dr Mohammad Mustafa (kanan). Bersama beliau bergambar ialah Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas.
Perdana Menteri Penguasa Palestin yang baru dilantik, Dr Mohammad Mustafa (kanan). Bersama beliau bergambar ialah Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas. - Foto AFP

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, telah mengucapkan tahniah kepada Dr Mohammad Mustafa atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Ehwal Luar dan Ekspatriat Palestin.

Dr Mustafa, sekutu kepada Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, dan tokoh perniagaan terkemuka, dilantik sebagai Perdana Menteri pada 14 Mac. 

Dalam surat kepada Dr Mustafa pada 5 April, Encik Lee berkata pelantikan beliau ke jawatan baru itu berlaku pada “masa yang sangat mencabar”. 

Beliau menambah Singapura “amat prihatin” terhadap “keadaan kemanusiaan yang dahsyat” di Gaza. 

“Kami menyokong gencatan senjata kemanusiaan segera untuk membolehkan penghantaran bantuan yang pantas dan tanpa halangan,” kata Encik Lee. 

“Singapura telah menyampaikan tiga bantuan kemanusiaan kepada Gaza dan mengerahkan sebuah Pesawat Republik Singapura untuk misi menggugurkan bantuan kemanusian dari udara.” 

Pakej Bantuan Teknikal yang dipertingkat dari Singapura pula menyokong usaha pembangunan keupayaan Palestin, kata Encik Lee. Menambah, beliau berkata lebih 700 pegawai Palestin telah menghadiri kursus latihan dan lawatan sambil belajar di bawah pakej itu sejauh ini. 

Pada 2022, Singapura telah menubuhkan Pejabat Perwakilan di Ramallah untuk memudahkan lagi hubungan antara Singapura dengan Palestin.

Singapura terus percaya penyelesaian dua negara yang dirundingkan, selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang relevan, adalah “satu-satunya jalan yang berdaya maju untuk mencapai keamanan yang menyeluruh, dan tahan lama” antara Israel dan Palestin, kata Encik Lee. 

“Saya tidak sabar untuk menemui anda, dan menjemput anda untuk melawat Singapura pada masa yang sesuai,” kata Encik Lee sambil mengucapkan selamat maju jaya kepada Dr Mustafa dalam jawatan baru tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg