Topic followed successfully
Go to BHkuPM NZ lawat S'pura akhir April
PM NZ lawat S'pura akhir April
PM NZ lawat S'pura akhir April
PERDANA Menteri New Zealand, Cik Jacinda Ardern akan mengadakan lawatan ke Singapura dalam rangksa misi perdagangan akhir bulan ini, lawatan rasmi pertamanya ke luar negara sejak permulaan pandemik Covid-19.
Cik Ardern akan diiringi oleh Menteri Perdagangan dan Pertumbuhan Eksport, Encik Damien O'Connor, serta pemimpin perniagaan dari sektor tenusu, makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, penerbangan, pelancongan, rantaian bekalan dan tenaga, kata Perdagangan dan Perusahaan New Zealand dalam satu kenyataan semalam.
Mereka akan berlepas dari New Zealand pada 18 April.
"Misi perdagangan pertama ini merupakan peristiwa penting bagi Strategi Pemulihan Perdagangan Pemerintah New Zealand kerana ia meneroka cara mempercepatkan pemulihan ekonomi negara yang kukuh dengan menyambung semula hubungan bersama dunia, dengan Singapura diiktiraf sebagai salah satu rakan kongsi ekonomi strategik yang paling rapat dan paling penting," kata kenyataan itu.
Wakil syarikat-syarikat New Zealand yang akan ke Singapura sebagai sebahagian daripada misi perdagangan itu termasuk Fonterra; ANZCO; Zespri International; Beca Group; GNS Science; Lapangan Terbang Auckland; Lapangan Terbang Christchurch; Food Innovation Network (FoodBowl); The Clinician, Plant & Food Research; Beca; Wakatu/ AuOra; Cogo dan New Zealand Hydrogen Council.
Para delegasi dijangka menggunakan lawatan itu untuk menandatangani memorandum persefahaman yang mengukuhkan kerjasama dan inovasi dua hala.
Pesuruhjaya Perdagangan di Perdagangan dan Perusahaan New Zealand di Singapura, Cik Maggie Christie, akan menganjurkan kunjungan Cik Ardern dan para delegasi.
Cik Ardern telah membuat lawatan rasmi pertamanya ke Singapura pada Mei 2019 atas undangan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.
Kerajaan New Zealand berkata Isnin lalu bahawa Cik Ardern akan bertemu dengan Encik Lee dan Presiden Halimah Yacob.
Beliau juga akan berucap kepada usahawan utama Singapura dan pemimpin perniagaan sebagai sebahagian daripada majlis makan yang dihoskan untuk delegasi New Zealand.
Cik Ardern juga akan melawat salah satu pelabuhan utama Singapura, berbincang dengan pemimpin sektor penerbangan, mengambil bahagian dalam upacara sambutan adat atas permintaan pemerintah Singapura, dan menghadiri majlis pelancaran Kuwaha di Gardens by the Bay.
Singapura ialah rakan dagangan kelima terbesar New Zealand dengan NZ$6.56 bilion ($6.12 bilion) dalam perdagangan dua hala pada tahun berakhir Disember 2021.
"Lebih dua tahun sejak Covid-19 melanda New Zealand, dan mendorong kami menutup sempadan untuk melindungi nyawa dan mata pencarian. Kini, kami mesti terus berhubung semula dengan dunia," kata Cik Ardern.

