Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM puji pengorbanan masyarakat Melayu/Islam dalam tangani Covid-19

Apr 4, 2020 | 5:30 AM
SUMBANGAN DIHARGAI: Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberi 'Salam Mufti' sambil mengucapkan terima kasih kepada masyarakat kerana memberikan kerjasama dalam usaha menangani Covid-19 semasa beliau menyampaikan ucapan semalam. - Foto MCI
SUMBANGAN DIHARGAI: Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberi 'Salam Mufti' sambil mengucapkan terima kasih kepada masyarakat kerana memberikan kerjasama dalam usaha menangani Covid-19 semasa beliau menyampaikan ucapan semalam. - Foto MCI -

"DALAM beberapa minggu lepas, bilangan kes baru Covid-19 telah meningkat.

Kami memantau perkembangan ini dengan teliti, dan mengetatkan langkah berjaga-jaga secara beransur-ansur.

Rata-rata, rakyat Singapura mematuhi arahan.

Bagi masyarakat Melayu/Islam, anda telah membuat beberapa pengorbanan dan penyesuaian yang besar seperti kaum lain juga.

Anda faham kenapa masjid ditutup, anda mengamalkan Salam Mufti dan menundakan majlis keramaian yang penting seperti majlis perkahwinan.

Seperti yang diterangkan Mufti, masyarakat Islam juga perlu membuat penyesuaian bagi Ramadan dan bulan Syawal yang bakal menjelang.

Saya sendiri kecewa kita tidak akan ada bazar di Geylang Serai tahun ini, kesal sekali.

Tetapi ini tidak boleh dielakkan.

Terima kasih kerana memberikan kerjasama anda.

Keadaan masih terkawal tetapi pemerintah bimbang sekiranya kes baru terus meningkat, mungkin kemudian bilangan kes akan melonjak dengan tinggi.

Oleh itu, kami telah memutuskan untuk melaksanakan langkah berjaga-jaga yang lebih ketat, selama sebulan.

Kami akan menutup sebahagian besar tempat kerja, sekolah dan prasekolah.

Tetapi perkhidmatan penting seperti pasar dan pasar raya, tempat makan dan pengangkutan awam akan terus dibuka.

Anda masih boleh mendapatkan barang dapur anda dan masih boleh membeli makanan di pusat penjaja.

Kami juga akan menutup sekolah dan pusat prasekolah.

Saya harap ibu bapa akan terus membimbing anak-anak anda ketika di rumah supaya pendidikan mereka tidak terjejas.

Kami akan perketat langkah untuk memastikan jarak selamat.

Sebelum ini, kami pernah katakan bahawa orang ramai boleh berkumpul, asalkan tidak melebihi 10 orang.

Tetapi sekarang, kami mahu anda duduk di rumah jika boleh dan elakkan daripada bergaul selain daripada lingkungan keluarga anda sendiri.

Saya tahu ini suatu yang sangat susah untuk dilakukan, kerana kita semua mahukan teman dan berhubung dengan orang lain, serta berbual and beramah-tamah bersama rakan-rakan dan saudara-mara kita.

Tetapi saya harap anda boleh bersabar dengan apa yang kita harus laksanakan dan patuhi peraturan demi keselamatan anda sendiri dan kita semua."

"Bagi masyarakat Melayu/Islam, anda telah membuat beberapa pengorbanan dan penyesuaian yang besar seperti kaum lain juga. Anda faham kenapa masjid ditutup, anda mengamalkan Salam Mufti dan menundakan majlis keramaian yang penting seperti majlis perkahwinan... Terima kasih kerana memberikan kerjasama anda." - Perdana Menteri Lee Hsien Loong

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg