Satu panduan dalam talian atau toolkit silang agama akan disediakan bagi memudahkan pemahaman antara agama selain membina hubungan bermakna dalam kehidupan harian.

Antara lain, ia merangkumi panduan literasi bagi 10 agama di Singapura, petunjuk praktikal mengenai amalan pemakanan, etika melawat rumah ibadat, perayaan, serta tatacara pengebumian dan menyapa pemimpin agama.

Panduan Penglibatan Silang Agama JIRAN itu direka oleh Pusat Harmoni dan dilancarkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di majlis makan malam ulang tahun ke-20 Masjid An-Nahdhah dan pusat tersebut di Hotel Ritz-Carlton pada 14 Oktober.

Ketika berucap di majlis itu, Encik Wong berkata panduan dalam talian itu merupakan usaha meneruskan kegigihan Pusat Harmoni sepanjang 20 tahun yang lalu dalam membawa masyarakat bersama-sama untuk menjalin rasa hormat dan persahabatan yang tulen.

Menurutnya, peranan Pusat Harmoni kekal penting dan relevan kerana ancaman ekstremisme dan radikalisasi kini menjadi semakin kompleks dan merangkumi pelbagai bentuk ideologi baharu yang boleh mempengaruhi sesiapa sahaja tanpa mengira usia mahupun latar belakang.

Selain itu, ketegangan isu geopolitik di luar negara serta penularan komen berunsur kebencian di media sosial berisiko menjejas keharmonian dan memecahbelahkan masyarakat jika toleransi dan pemahaman tidak terus dipupuk, tambah beliau.

“Dua puluh tahun berlalu, konteksnya telah berubah. Namun, misi Pusat Harmoni kekal penting seperti biasa,” kata Encik Wong.

“Itulah sebabnya kita mesti terus saling mengambil berat antara satu sama lain, terutamanya golongan muda kita.

“Kita perlu memastikan mereka kekal terhubung dengan dunia sebenar, serta memastikan mereka mempunyai pasak pertimbangan yang kukuh – keluarga, rakan-rakan, guru-guru, serta pemimpin agama dan masyarakat – insan yang mereka percayai dan boleh dijadikan tempat meminta bimbingan,” ujar beliau.

Pusat Harmoni ditubuhkan pada 7 Oktober 2006 dan menurut Encik Wong, dunia ketika itu masih menangani kesan susulan daripada serangan 11 September 2001.

Ini di samping serangan pengganas atas nama Islam yang mencetuskan salah faham meluas dan menghakis kepercayaan antara masyarakat agama di seluruh dunia.

Ketika itu, Encik Wong menambah bahawa Singapura telah menangani ancaman keganasan menerusi dua pendekatan – mengetatkan keselamatan negara dan membina persefahaman antara kaum.

Dalam usaha membanteras prasangka serta mengukuhkan kepercayaan masyarakat, penubuhan Pusat Harmoni memainkan peranan yang amat penting, ujar beliau.

“Ia memberikan makna apabila pusat itu ditempatkan di dalam sebuah masjid – ia merupakan jemputan terbuka dan sengaja kepada rakyat Singapura daripada pelbagai agama untuk mempelajari lebih lanjut mengenai Islam, dan untuk penganut Islam mempelajari lebih lanjut mengenai agama lain.

“Menerusi peredaran masa, puluhan ribu orang telah melangkah masuk ke pintunya.

“Menerusi perbualan, perjalanan pembelajaran, dan program rentas agama, pusat tersebut telah membantu menepis salah faham, membina persahabatan, serta memperdalam kepercayaan,” ujarnya.

Majlis makan malam itu turut dihadiri Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Encik Mohamed Saat Abdul Rahman; Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen; Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir; Ketua Pusat Harmoni, Ustaz Muhammad Nasir Johari; dan Pengerusi Masjid An-Nahdhah, Ustaz Mohd Fairuz Shah Sudiman.

Ini di samping 450 hadirin termasuk pemimpin agama dan masyarakat, rakan kerjaya rentas agama, pegawai awam, relawan dan rakan kongsi kededua Masjid An-Nahdhah dan Pusat Harmoni.

Menurut Encik Zaqy, sepanjang 20 tahun lalu, Pusat Harmoni dan Masjid An-Nahdhah telah memainkan peranan penting dalam membawa masyarakat daripada pelbagai agama bersama, membina persefahaman, serta menjalin ikatan persahabatan merentas agama.

“Ulang tahun bersejarah ini juga menjadi peringatan bahawa keharmonian agama ialah sesuatu yang mesti terus kita semai bersama, menerusi rasa hormat, kepercayaan, dan sikap saling mengambil berat antara satu sama lain,” kongsi Encik Zaqy.

Sementara itu, panduan silang agama yang diperkenalkan pada malam itu berfungsi seperti e-book – lantas orang ramai tidak kira bangsa dan agama boleh mendapatkan maklumat mengenainya menerusi laman web MUIS, di https://www.muis.gov.sg/community/harmony-centre/publications/.

Pelancaran itu juga melengkapi Piagam Kejiranan – yang juga diumumkan buat kali pertama pada majlis itu – dengan menawarkan panduan yang dapat menyokong interaksi dan hubungan bermakna di luar dialog rasmi antara agama mahupun acara yang dianjurkan, kata MUIS dalam satu kenyataan pada 14 Oktober.

Sementara itu, majlis turut menyaksikan pembacaan Piagam Kejiranan – diumumkan buat kali pertama – dan diikrarkan oleh 10 pemimpin agama di Singapura termasuk Mufti Dr Nazirudin.

Menurut MUIS, ia dibangunkan menerusi proses kolaboratif melibatkan wakil daripada 10 tradisi agama.

“Piagam ini menterjemahkan iltizam bersama untuk memperkukuh hubungan merentasi perbezaan agama, berteraskan nilai-nilai sepunya seperti kemuliaan insan, ihsan, rasa hormat, perpaduan, dan tanggungjawab terhadap satu sama lain,” kata MUIS.

Mengulas mengenai alat dan piagam tersebut, Encik Wong berkata:

“Ini merupakan langkah praktikal untuk membawa penglibatan antara agama melangkaui dialog rasmi dan acara berjadual, serta menyerapkannya ke dalam kehidupan harian dan masyarakat kita.

“Kerana pada akhirnya, keharmonian paling kukuh apabila ia dihayati – menerusi cara kita bertutur antara satu sama lain, cara kita bertindak balas apabila timbul prasangka atau sikap tidak bertoleransi, dan cara kita saling mengambil berat antara satu sama lain.”