Asean tidak mampu mengawal persekitaran luar mahupun persaingan sengit antara kuasa besar dunia, namun blok serantau itu boleh menentukan cara tindak balasnya sendiri di samping kekal padu dan bersatu, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Sehubungan itu, Singapura akan memanfaatkan jawatan pengerusi Asean yang dipegangnya pada 2027 untuk memperdalam lagi penyepaduan Asean, serta memperluas kerjasama dengan semua kuasa utama, kata Encik Wong semasa bercakap dengan media di akhir Sidang Kemuncak Asean ke-49 di Manila, Filipina pada 17 November.

“Semakin kita mampu berbuat demikian, kita juga akan dapat memperluas ruang untuk Asean mencatur langkah dan memelihara autonomi strategik kita, serta mempunyai keupayaan untuk terus mencorak masa depan kita, kerana dengan cara ini Asean kekal terbuka dan inklusif.

“Bukan semua yang kita lakukan ditentukan oleh Amerika dan China serta persaingan antara mereka. Sebaliknya, kita mempunyai ruang untuk mendekati kuasa-kuasa lain, dan ruang untuk menentukan nasib kita sendiri,” kata beliau.

Singapura akan menerajui kepengerusian bergilir Asean pada 2027, mengambil alih daripada Filipina.

Encik Wong telah mendedahkan tema untuk kepengerusian Singapura – ‘Penyepaduan Lebih Mendalam, Kerjasama Lebih Luas’ – semasa majlis penutup sidang kemuncak itu pada 17 November, dengan beliau berkata kedua-dua tonggak tema tersebut saling memperkukuh antara satu sama lain.

Filipina, selaku pengerusi Asean 2026, telah menggalas tanggungjawabnya dengan berkesan, dengan mereka berjaya mengemudi blok serantau ini mengharungi tahun yang sukar, termasuk dalam mencapai beberapa hasil positif seperti pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).

Namun, masih ada isu-isu yang belum terlerai.

Antaranya adalah berhubung isu Laut China Selatan, di mana Asean dan China telah mencapai perjanjian sementara melibatkan sekitar 80 peratus draf Tatakelakuan (COC) yang telah lama dinantikan. Bagaimanapun, ia tersasar daripada komitmen awal untuk memuktamadkan rundingan pada 2026.

Encik Wong berkata penyelesaian 20 peratus terakhir draf COC itu merupakan fasa yang paling sukar dan kerana wujudnya perbezaan pandangan.

“Sudah tentu wujud perbezaan pandangan, bukan sahaja antara China dengan Asean, malah dalam kalangan negara anggota Asean sendiri, memandangkan bukan semua negara Asean adalah pihak penuntut,” kata beliau.

“Sebagai pengerusi pada tahun hadapan, kami akan membantu mempermudahkan proses ini dan melakukan yang terbaik untuk mengemudinya, dengan harapan kita juga mampu melakar kemajuan yang baik.”

Menekankan potensi Asean, Encik Wong berkata 11 negara anggota Asean secara kolektif membentuk gabungan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) sekitar AS$4.5 trilion, dan sekiranya Asean melakukan lebih banyak untuk bersepadu dan berkembang, angka itu boleh mencapai AS$10 trilion menjelang awal 2040-an.

Sempena kepengerusian Singapura, Encik Wong turut mengalu-alukan rakyat Singapura untuk memainkan peranan dalam menjayakan agenda Asean, contohnya dengan perniagaan, institusi pendidikan dan anak-anak muda mengadakan pertukaran antara rakyat yang lebih erat serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan Asean.

“Kami berharap dengan berbuat demikian, semakin ramai rakyat Singapura akan melihat Asean bukan sekadar sebagai sebahagian daripada kawasan kejiranan kita, malah sebagai sebuah rantau yang penuh dengan peluang dan rantau di mana kita dapat membentuk masa depan kita bersama,” ujarnya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti