Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong bertemu rakan sejawat Thailand, Pengarah Urusan IMF
PM Wong bertemu rakan sejawat Thailand, Pengarah Urusan IMF
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, yang berada di Singapura bagi menghadiri Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Forbes 2026.
Dalam catatan Facebook pada 7 Oktober, Encik Wong berkata pertemuan itu mencerminkan hubungan erat yang terjalin antara kededua negara.
Encik Anutin berada di Singapura bagi menghadiri persidangan dua hari yang berlangsung hingga 8 Oktober itu di Shangri-La Singapore, yang menghimpunkan pemimpin perniagaan, usahawan dan pelabur sejagat bagi mengupas pelbagai isu kritikal serta peluang kerjasama pelaburan.
Sehubungan itu, Encik Wong juga bertemu dengan Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Cik Kristalina Georgieva.
Cik Georgieva berada di Singapura menjelang mesyuarat tahunan IMF dan Bank Dunia yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand dari 12 hingga 18 Oktober.
Dalam satu catatan Facebook pada 8 Oktober, Encik Wong berkata beliau dan Cik Georgieva bertukar pandangan mengenai prospek ekonomi sejagat serta cabaran yang dihadapi ekonomi dalam persekitaran yang semakin tidak menentu.
“Khususnya, kami membincangkan bagaimana negara-negara boleh memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu yang lain untuk meningkatkan produktiviti, mewujudkan peluang bagi perniagaan dan pekerja, serta menyokong pertumbuhan yang mampan.
“Kami turut membincangkan perkembangan serantau dan keutamaan Singapura menjelang negara ini mengambil alih kerusi Asean pada 2027,” ujar Encik Wong.
Sambil itu, beliau menekankan kerjasama kukuh antara negara-negara serta institusi seperti IMF penting bagi membantu rantau ini “kekal terbuka, berdaya tahan dan berpandangan jauh”.
“Singapura mempunyai hubungan kerjasama yang telah lama terjalin dengan IMF.
“Saya berharap dapat meneruskan kerjasama rapat ini dalam menyokong sistem kewangan dan monetari antarabangsa yang stabil,” tambah Encik Wong.