Adalah mudah untuk ambil ringan bagaimana sesuatu dibina di Singapura, di mana pihak berkuasa memastikan projek-projek itu selesai dan dilaksanakan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, ketika membuka tahap keempat Laluan Thomson-East Coast (TEL) pada 21 Jun.
“Kami kata kami mahu melakukan sesuatu, dan akhirnya ia selesai,” tambah Encik Wong di stesen Marine Parade, salah satu daripada tujuh stesen baru di sepanjang TEL Tahap 4 (TEL4).
Stesen lain termasuk Tanjong Rhu, Katong Park, Tanjong Katong, Marine Terrace, Siglap dan Bayshore.
Encik Wong menyatakan bahawa di banyak negara lain termasuk negara maju, mungkin terdapat kesukaran untuk menyiapkan projek, disebabkan isu pembiayaan atau tentangan daripada penduduk atau orang yang mengalami kesukaran akibat projek tersebut.
“Kadang-kadang, parti politik bertukar dan parti baru berkuasa, dan mereka membatalkan rancangan parti sebelumnya.
“Jadi, di banyak tempat ini, orang bercakap tentang mahu melakukan sesuatu, tetapi setelah masa yang lama, perkara itu masih tidak dapat disiapkan. Di Singapura, apabila kami berkata kami akan melakukan sesuatu, kami memastikan kami melaksanakannya,” ujar beliau.
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat; Menteri Kanan Emeritus, Encik Goh Chok Tong; dan mantan Menteri Pengangkutan, Encik Khaw Boon Wan, turut menghadiri majlis perasmian TEL4 pada 21 Jun, lapor The Straits Times (ST).
Mereka disertai oleh anggota parlimen bagi pelbagai kawasan yang terangkum oleh TEL4, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat (GRC East Coast), dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng (GRC Marine Parade).
Encik Wong menambah bahawa TEL hanyalah sebahagian daripada pelaburan pemerintah dalam sistem pengangkutan awam dan “kami pastinya belum selesai mengembangkan rangkaian rel kami”.
Beliau berkata lebih 50 stesen MRT baru akan dibuka sepanjang dekad mendatang, termasuk di sepanjang Laluan Daerah Jurong dan Laluan Rentas Pulau baru, yang akan meningkatkan kesalinghubungan di barat, timur dan timur laut Singapura.
Stesen dan sambungan baru juga akan dibuka di laluan Utara-Selatan, Circle dan Downtown.
Menjelang 2030-an, lapan dalam 10 isi rumah di Singapura akan terletak dalam jarak hanya 10 minit perjalanan daripada stesen MRT, tambah Encik Wong.
Hujung timur TEL akan disambungkan ke Lapangan Terbang Changi melalui sambungan yang dirancang disiapkan pada pertengahan 2030-an, bersama-sama dengan pembukaan Terminal 5.
Hujung baratnya pula akan menghubungkan penumpang ke Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) antara Johor Bahru dengan Singapura di Woodlands North, lapor ST lagi.
Berucap pada majlis perasmian TEL4 di stesen Marine Parade pada 21 Jun, Encik Wong mengimbas zaman beliau membesar di Marine Terrace pada tahun-tahun 1980-an. Ketika itu, beliau menginginkan stesen MRT yang lebih dekat dengan rumahnya.
Meskipun beliau tidak lagi menetap di kawasan itu, Encik Wong berkata penduduk yang tinggal di sepanjang TEL4 boleh menikmati pengangkutan awam yang cepat, selesa dan pada harga berpatutan.
Perjalanan langsung dengan kereta api TEL dari Marine Parade ke Shenton Way, di tengah-tengah kawasan pusat bandar, akan mengambil masa 20 minit, mengurangkan separuh masa perjalanan bagi penduduk yang sebelum ini perlu mengambil gabungan bas dan kereta api, katanya.
Pelajar juga akan meraih manfaat, dengan lebih 10 sekolah dalam jarak berjalan kaki dari stesen TEL4, kata PM Wong.
Selain itu, kawasan East Coast, termasuk Joo Chiat dan Katong, akan lebih dekat dengan warga Singapura.
Orang ramai juga dapat ke Pantai East Coast dengan lebih mudah.
“Jika anda dibesarkan di timur, anda tahu ini tempat yang istimewa. Anda tahu bahawa terdapat pilihan makanan yang sangat baik di Joo Chiat, di Katong, dan saya rasa sesetengah orang telah memanggil laluan TEL4 ini sebagai laluan makan,” kata Encik Wong.
Beliau turut menyentuh tentang golongan berkeperluan khas yang telah mendapat perhatian pihak berkuasa ketika membangunkan laluan tersebut.
Misalnya, papan tanda stesen mempunyai huruf dengan fon yang lebih besar dan terdapat lebih banyak teks braille untuk membantu mereka yang cacat penglihatan.
Sistem peningkatan pendengaran yang mengurangkan bunyi latar belakang yang bising untuk penumpang dengan alat bantuan pendengaran dan membolehkan mereka berkomunikasi dengan lebih mudah dengan kakitangan stesen juga telah dipasang di pusat perkhidmatan penumpang di stesen TEL.
Stesen-stesen itu juga ada lebih banyak lif dan pintu masuk, menjadikannya lebih mudah bagi mereka yang menghadapi cabaran mobiliti, kata Encik Wong.
Peringkat seterusnya TEL, yang terdiri daripada stesen Bedok South dan Sungei Bedok, akan siap menjelang 2026.
Ini setelah ia ditangguhkan dua kali daripada tarikh akhir asalnya pada 2024 – kali pertama disebabkan pandemik Covid-19, dan kemudiannya disebabkan cabaran pembinaan terowong berhampiran infrastruktur kritikal sedia ada.
“Bagi penduduk yang tinggal lebih dalam di bahagian timur, harap bersabar. Pembinaan sedang berjalan,” kata Encik Wong.
Beliau menambah: “TEL4 hanyalah perhentian terkini dalam perjalanan kami untuk membina rumah yang lebih baik untuk semua warga Singapura.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg