Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, rasmi melancarkan One Punggol, sebuah hab masyarakat dan gaya hidup yang menempatkan pelbagai agensi pemerintah utama di bawah satu bumbung, pada 8 September.
Berucap di majlis pembukaan rasmi itu, Encik Wong menarik perhatian perkembangan pesat Punggol, yang masih terus berkembang.
“Punggol sangat berbeza sekarang (berbanding dahulu).
“Visi sebuah bandar di pesisiran kini menjadi nyata... Dan usaha ini belum selesai.
“Masih ada banyak lagi rancangan bagi Punggol yang boleh dijangkakan penduduk... Ada lagi banyak perkembangan,” ujar Encik Wong, yang merujuk kepada Pusat Sukan Daerah Punggol yang dijadual dibuka pada 2026 dan beberapa perkembangan lain.
Lawatan Encik Wong ke Punggol merupakan sebahagian siri lawatannya ke kawasan undi di serata Singapura, yang bermula dengan Tampines pada 15 Jun.
Beliau turut disertai Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Pasir Ris-Punggol GRC termasuk Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean; Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary; Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling; Encik Sharael Taha (Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol); dan Cik Yeo Wan Ling (Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol).
One Punggol yang terletak sebelah stesen LRT Sam Kee dan dekat pusat beli-belah Waterway Point di Punggol antara lain menempatkan Perpustakaan Daerah Punggol, kelab masyarakat, pusat penjaja, pusat dialisis, bank darah dan pusat jagaan kanak-kanak.
Di sebalik perkembangan fizikal dan prasarana yang dibangunkan, Encik Wong turut menarik perhatian peranan penting hubungan antara penduduk yang menyumbang kepada rasa kekitaan yang mendalam kepada tempat tinggal mereka.
“Oleh itu, kami mengalu-alukan anda semua melibatkan diri untuk menjadikan tempat ini tempat tinggal yang lebih baik buat anda semua dan anak-anak anda,” ujarnya.
Tambahnya, kerjasama yang kukuh sebagai sebuah masyarakat dan bersama pemerintah adalah penting untuk menjadi lebih berkesan dalam melaksanakan pelbagai rancangan.
Ini juga sejajar dengan mesejnya semasa Rapat Hari Kebangsaan 2024 yang mengajak warga memperkukuh kompak sosial, membantu mereka yang lebih mudah terjejas dan mengejar impian masing-masing untuk menjadi versi diri mereka yang terbaik.
Majlis pembukaan rasmi One Punggol disertai lebih 10,000 orang.
Antara mereka termasuk Cik Nur Izyani Taha, 43 tahun, yang sudah menetap di Punggol selama 17 tahun.
Menurutnya, beliau telah menyaksikan perkembangan kemudahan di Punggol dari Punggol Plaza, pusat beli-belah Waterway Point, Safra Punggol, Oasis Terrace dan kini One Punggol.
“Saya sudah tidak perlu ke tempat lain untuk menikmati kemudahan atau hiburan.
“One Punggol menambah kepada pelbagai perkhidmatan dan kemudahan sedia ada,” ujar pengurus pentadbiran itu.
One Punggol, yang dibuka secara berperingkat sejak suku ketiga 2022, merupakan hab masyarakat dan gaya hidup bersepadu keempat di Singapura.
Hab masyarakat bersepadu lain termasuk Our Tampines Hub (OTH), Heartbeat@Bedok dan Bukit Canberra.
Seorang lagi penduduk yang tinggal di Punggol sejak 2011, Encik Muhammad Fadhly Abdullah, 45 tahun, berkata beliau sekeluarga sering pergi ke Geylang Serai untuk menghadiri acara masyarakat seperti acara Hari Raya dan pelbagai aktiviti kanak-kanak.
“Kini, kami dapat meluangkan masa bersama di One Punggol seperti menonton filem yang ditayang pada skrin besar.
“Banyak aktiviti yang dapat kami lakukan di sini selain bertemu bertemu dengan jiran,” ujar Encik Fadhly, yang juga berkhidmat sebagai jururawat staf di bank darah Bloodbank@One Punggol.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg