Dengan industri bergerak dengan begitu pantas, meramalkan industri pertumbuhan besar seterusnya hampir serupa dengan meneka saham besar seterusnya dalam pasaran saham – sangat sukar, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Daripada cuba menjangka perkara besar seterusnya akan muncul pada tahun-tahun akan datang, mereka yang mempersiapkan diri menyertai trend mega yang akan membentuk dunia akan berada dalam kedudukan yang baik untuk masa depan, kata beliau kepada kira-kira 900 pelajar dari universiti, politeknik Singapura dan Institut Pendidikan Teknikal, di sesi dialog pada 2 Julai.
Trend mega utama yang akan menjadi pemacu dunia ialah teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), kata Encik Wong di majlis yang diadakan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) itu.
Golongan muda harus membiasakan diri dengan alatan AI, meskipun jika sains komputer bukan yang mereka minati, kata Encik Wong, lapor The Straits Times.
“Anda boleh menjadi peguam, anda boleh berada dalam bidang kewangan, anda boleh menjadi akauntan, arkitek, anda boleh menjadi pereka – anda perlu mula menggunakan lebih banyak alat teknologi termasuk alatan AI,” kata beliau.
Seseorang tidak perlu menjadi programmer untuk berupaya menggunakan alat teknologi dengan berkesan, terutamanya dengan kemajuan AI sudah menjadikannya lebih mudah diakses seperti di WhatsApp, tambahnya.
Meta, syarikat induk WhatsApp, pada awal 2024 melancarkan chatbot AI di mana pengguna aplikasi pemesan mudah alih boleh “bercakap” dengan mana-mana kenalan lain.
Dua lagi trend mega ialah kemampanan dan kebangkitan Asia, kata Encik Wong.
Dengan lebih banyak syarikat di serata dunia mula memikirkan tentang penghapusan karbon, mereka akan memerlukan pekerja yang mempunyai pengetahuan dalam bidang ini manakala mereka yang mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang jiran-jiran Singapura akan mendapati terdapat permintaan ke atas kemahiran mereka apabila majikan ingin mengembangkan operasi mereka di Asia Tenggara.
“Jadi, jangan fikir tentang silo industri lagi – fikirkan tentang trend mega besar ini yang akan bersama kita untuk tahun-tahun dan dekad akan datang, dan mula berfikir tentang bagaimana anda boleh memahami trend ini dengan lebih baik, dan kemahiran baru yang perlu anda perolehi,” katanya.
Dalam dialog anjuran SMU, Institut Kajian Dasar dan organisasi pelajar Varsity Voices itu, ramai pelajar beratur untuk bertanya soalan kepada Encik Wong.
Perdana Menteri menjawab pelbagai soalan termasuk tentang matlamat Singapura untuk mempunyai 15,000 pengamal AI menjelang 2030, dan bagaimana ia akan memastikan orang ramai tidak berasa ketinggalan; dan bagaimana Singapura boleh mengimbangi faedah dan keburukan tenaga kerja asing yang lebih besar sambil melindungi kepentingan warga sendiri.
Semasa berucap sebelum dialog itu, Encik Wong menggesa warga muda Singapura supaya mendefinasikan kejayaan mengikut fahaman mereka, dan bukannya mengukur diri mereka dengan orang lain.
Menjawab soalan mengenainya, beliau berkata cabaran akan sentiasa ada dalam persaingan ekonomi kerana organisasi beroperasi mengikut struktur, dan oleh itu perlu menentukan siapa yang yang berada di depan.
“Kita boleh bercakap secara saksama, kita boleh bercakap secara tidak formal. Itulah jenis etos egalitarian yang kita mahu ada di Singapura, dan kita mesti sentiasa ada,” katanya.
“Dan jika kita melakukannya dengan baik di Singapura, ada harapan anda tidak berasa begitu tertekan, anda tidak berasa seperti anda sentiasa membandingkan antara satu sama lain.”
Encik Wong mengakui bahawa tekanan akan wujud dan adalah mustahil untuk menghapuskannya sepenuhnya.
Beliau menggesa belia supaya mencuba dan mencari makna dan tujuan dalam apa yang mereka lakukan, dan terus cemerlang dan berkembang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg