Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong gesa Asean+3 tolak pertikaian ekon, perkukuh perdagangan terbuka
PM Wong gesa Asean+3 tolak pertikaian ekon, perkukuh perdagangan terbuka
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menggesa negara anggota Asean serta tiga rakan kongsinya – China, Jepun dan Korea Selatan – untuk menentang persaingan ekonomi dengan terus menegakkan sistem perdagangan yang terbuka dan berteraskan peraturan.
Langkah ini penting bagi memastikan rantau ini kekal terbuka dan terhubung ketika dunia berdepan dengan perpecahan dan persaingan ekonomi yang semakin meningkat.
Berucap di Sidang Kemuncak Asean Plus Three (APT) ke-29 di Manila, Filipina pada 17 November, Encik Wong turut menggesa negara-negara untuk memanfaatkan sepenuhnya perjanjian sedia ada.
Ini termasuk Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) – iaitu Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terbesar di dunia, yang merangkumi kira-kira 30 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sejagat dan kira-kira satu pertiga penduduk dunia.
Menyusuri sejarah APT, Encik Wong berkata platform itu terbentuk pada 1997 sewaktu Krisis Kewangan Asia melanda rantau ini.
Kini, hampir tiga dekad telah berlalu dan APT telah berkembang menjadi sebuah platform yang utuh bagi kerjasama praktikal dalam menghadapi pelbagai cabaran bersama.
“Hari ini, rantau kita menjadi nadi kepada rantaian bekalan antarabangsa dan merupakan pemacu utama pertumbuhan global.
“Walaupun kita telah menjadi lebih berdaya tahan, cabaran yang dihadapi kini semakin kompleks. Dalam dunia yang kian tidak menentu, keutamaan akan memihak kepada rantau yang menawarkan kestabilan, keterbukaan dan peluang pertumbuhan.
“APT mempunyai potensi menjadi rantau sedemikian, dan kita mesti bekerjasama untuk merealisasikan sepenuhnya potensi ini,” kata beliau.
Di sidang itu, China diwakili Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar, Encik Zhang Zhu; Jepun diwakili Perdana Menteri, Cik Sanae Takaichi; dan Korea Selatan diwakili Presiden, Encik Lee Jae Myung.
Menyentuh mengenai keperluan mendepani krisis, Encik Wong menekankan peri pentingnya usaha untuk terus memperkukuh keupayaan agar dapat bertahan daripada sebarang kejutan pada masa hadapan.
Kestabilan kewangan kekal sebagai batu asas dalam kerjasama APT, dan beliau mengalu-alukan usaha untuk memperkukuh Inisiatif Pelbagai Hala Chiang Mai sebagai satu jaringan keselamatan kewangan yang penting bagi rantau ini.
Selain kestabilan kewangan, Encik Wong juga menggesa rantau ini untuk membangunkan keupayaan dalam menangani pelbagai cabaran baru, terutamanya dalam aspek jaminan makanan dan tenaga.
“Kita mesti memperkukuh kesediaan kolektif kita bagi memastikan akses yang boleh dipercayai kepada keperluan asas ini, walaupun semasa krisis,” kata beliau.
Encik Wong turut berkata rantau ini perlu dipersiapkan untuk memanfaatkan peluang dalam bidang baru, terutamanya dalam ekonomi hijau dan digital.
Beliau mengalu-alukan lebih banyak syarikat daripada rakan kongsi Plus Three untuk melabur dalam Asean, dan juga menggalak lebih banyak syarikat Asean untuk meneroka pasaran China, Jepun dan Korea Selatan.
Encik Wong juga menyambut baik Pernyataan Pemimpin APT mengenai usaha memperkukuh daya tahan jaminan tenaga dan makanan, serta keterhubungan perdagangan maritim dan logistik.
Beliau berkata kedua-dua pernyataan itu mengesahkan komitmen terhadap daya tahan kolektif dan memastikan aliran barangan penting dan perdagangan, meskipun sewaktu krisis.