MANILA: Asean seharusnya mempergiat kerjasama dengan Australia dan Korea Selatan bagi melindungi pertumbuhan ekonomi serta keselamatan rantau ini, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ini lebih-lebih lagi di tengah-tengah peningkatan dasar perlindungan perdagangan dan ancaman digital yang semakin berkembang pesat, tambah beliau, ketika berucap dalam dua mesyuarat berasingan pada 16 November.

Mesyuarat tersebut menyaksikan pemimpin Asia Tenggara mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, dan Presiden Korea Selatan, Encik Lee Jae Myung.

Encik Wong berkata Singapura akan bekerjasama dengan kedua-dua pemimpin dalam kapasiti sebagai pengerusi Asean yang akan datang untuk membina rantau lebih berdaya tahan dan makmur.

Pada Sidang Kemuncak Asean-Australia, beliau berkata Australia bukan sahaja rakan dialog tertua Asean, malah merupakan negara jiran dan rakan penting kepada keselamatan serta kemakmuran rantau ini.

Beliau berkata kedua-dua pihak kini memperingati ulang tahun kelima Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP), yang mencerminkan hubungan luas dan mendalam hasil jalinan erat selama berdekad lamanya.

Ini di samping sokongan konsisten Australia terhadap prinsip pemusatan Asean serta pandangan negara itu mengenai Indo-Pasifik, di samping penyertaan membina negara tersebut dalam pelbagai inisiatif yang diterajui Asean.

Lantaran itu, Encik Wong berkata komitmen bersama terhadap keamanan dan keselamatan serantau menjadi asas kukuh hubungan kedua-dua pihak.

Hubungan itu turut menyediakan landasan kukuh untuk menangani cabaran serantau yang semakin ketara, termasuk keselamatan maritim, keselamatan siber dan penipuan rentas sempadan, tambahnya.

Beliau turut menyambut baik cadangan Australia untuk menubuhkan mekanisme rundingan Asean-Australia di bawah Mesyuarat Menteri Asean mengenai Jenayah Rentas Negara (AMMTC), serta menyatakan sokongan Singapura terhadap usaha itu.

Asean dan Australia juga terus memperkukuh integrasi ekonomi, khususnya menerusi pelancaran Strategi Ekonomi Australia bagi Asia Tenggara hingga 2040.

PM Wong berkata pasaran Asia Tenggara yang dinamik serta hubungannya dengan rantaian bekalan pembuatan sejagat saling melengkapi kekuatan Australia dalam bidang pendidikan, perkhidmatan profesional dan komoditi.

Malah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Asean-Australia-New Zealand yang telah dinaik taraf pula akan membuka lebih banyak peluang kerjasama, katanya lagi.

Ekonomi digital juga menawarkan prospek kerjasama yang cerah, tambah beliau.

Menurut Encik Wong, dengan memanfaatkan Pelan Kebangsaan Kecerdasan Buatan (AI) Australia dan Kumpulan Kerja Asean mengenai Tadbir Urus AI, yang dipengerusikan Singapura, kedua-dua pihak boleh bekerjasama membangunkan kaedah pengujian AI, piawaian keselamatan dan metodologi berkaitan.

Pada Sidang Kemuncak Asean-Republik Korea pula, Encik Wong berkata kemajuan memberangsangkan telah dicapai dalam melaksanakan visi CSP iaitu pelan hala tuju bagi kerjasama kukuh antara kedua-dua pihak yang dilancarkan pada 2025.

Encik Wong berkata kepada Presiden Lee: “Kita harus memanfaatkan momentum kukuh ini untuk merapatkan hubungan antara rakyat, memperdalam integrasi ekonomi dan memperkukuh keamanan serta keselamatan di rantau ini.”

Usaha itu boleh dilaksanakan dengan mempergiat pertukaran kebudayaan dan hubungan rakyat dengan rakyat.

Encik Wong berkata budaya Korea Selatan kini menjadi fenomena global, manakala Asean pula merupakan pasaran yang sedia ada dengan kekayaan serta kepelbagaian budaya tersendiri.

Beliau menambah bahawa dengan memanfaatkan kekuatan yang saling melengkapi ini, kedua-dua pihak dapat membuka peluang baharu kepada industri kreatif, memupuk persefahaman dan hubungan baik antara rakyat

Ini selain mengukuhkan sokongan terhadap kerjasama jangka panjang antara Asean dengan Korea Selatan.

Dalam keadaan persekitaran global yang semakin berpecah-belah dan cenderung kepada dasar perlindungan perdagangan, Asean dan Korea Selatan juga perlu menolak tekanan untuk bersikap tertutup dan sebaliknya mempererat hubungan ekonomi, tambahnya.

Encik Wong berkata penyelesaian substantif bagi usaha menaik taraf Kawasan Perdagangan Bebas Asean-Korea menjelang 2027 akan memberi isyarat jelas mengenai komitmen kedua-dua pihak ke arah itu.

Beliau turut menyambut baik sokongan Korea Selatan terhadap Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean (DEFA), sambil menyatakan bahawa kedua-dua pihak sedang bekerjasama dalam melaksanakan program pembangunan keupayaan selama tiga tahun bagi menyokong pelaksanaan perjanjian tersebut.