Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong hargai jasa mereka yang pertahan S’pura semasa Perang Dunia Kedua

Sep 12, 2025 | 5:59 PM
Lord Louis Mountbatten, perang dunia kedua
Pendudukan Jepun di Singapura berakhir 80 tahun lalu, apabila Komander Besar Tentera Bersekutu Asia Tenggara, Lord Louis Mountbatten, menerima penyerahan tentera Jepun di tapak lama City Hall. - Foto IMPERIAL WAR MUSEUM BRITAIN

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, memberi penghormatan kepada mereka yang telah mempertahankan Singapura, serta golongan perintis yang membangunkan negara ini, sempena ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua di sini.

“Tatkala kita memperingati 60 tahun kemerdekaan, kita mengenang dan memberi penghormatan kepada semua yang mempertahankan Singapura, serta golongan perintis yang mengharungi perang dan membangunkan semula tanah air kita daripada kehancuran,” tulis Encik Wong dalam satu hantaran di Facebook pada 12 September.

“Keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati hari ini dibina atas pengorbanan mereka. Kita tidak mungkin dapat membalas budi mereka sepenuhnya.

“Namun, kita boleh, dan mesti, memastikan pengorbanan akibat perang ini tidak dilupakan.

“Marilah kita menegakkan nilai keberanian, daya tahan dan tekad yang mereka tunjukkan – serta terus bersama-sama mempertahankan Singapura dan cara hidup kita sebagai sebuah rakyat,” tambahnya.

Pendudukan Jepun di Singapura berakhir 80 tahun lalu, apabila Komander Besar Tentera Bersekutu Asia Tenggara, Lord Louis Mountbatten, menerima penyerahan tentera Jepun di tapak lama City Hall, lapor The Straits Times (ST).

“Bagi sebahagian besar generasi selepas perang, kenangan waktu itu dikekalkan melalui cerita yang disampaikan oleh ibu bapa dan datuk nenek kita,” tulis Encik Wong.

“Pendudukan (Jepun) merupakan satu babak gelap – dipenuhi ketakutan, penderitaan dan kehilangan nyawa yang tidak berdosa,” tambahnya.

Encik Wong merujuk tragedi pembunuhan beramai-ramai Sook Ching sebagai salah satu episod paling tragik dalam sejarah Singapura, sambil menambah “peristiwa itu kekal terpahat dalam memori negara kita”.

Bagi memperingati ulang tahun itu, satu upacara diadakan di Tugu Peringatan Perang Kranji pada 12 September.

Ia khusus bagi memberi penghormatan kepada mereka yang telah berjuang mempertahankan Tanah Melayu dan Singapura, serta orang awam yang terkorban semasa perang.

Semasa upacara itu, loceng peringatan dibunyikan lima kali sebagai petanda tempoh perang lima tahun.

Pertubuhan tempatan, bekas askar dan tetamu terhormat dari luar negara turut meletakkan lingkaran bunga semasa upacara tersebut.

Seterusnya, masyarakat Jepun mengadakan upacara meletakkan Senbazuru, atau seribu burung kertas yang melambangkan umur panjang, kebahagiaan dan tuah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg