Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong lawat Australia pada 23-25 Nov
PM Wong lawat Australia pada 23-25 Nov
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, akan mengadakan lawatan rasmi ke Australia dari 23 hingga 25 November 2026 bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Tahunan Singapura-Australia (ALM) ke-11.
Mesyuarat tersebut adalah platform utama bagi perdana menteri kededua negara untuk membincangkan kerjasama dua hala dan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa.
Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 22 November, Encik Wong akan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, semasa satu jamuan sarapan tertutup di Canberra, Australia.
Kededua Perdana Menteri itu akan mempengerusikan ALM ke-11 bersama.
Encik Wong juga dijadual bertemu dengan Ketua Pembangkang, Encik Angus Taylor.
Di Sydney pula, Encik Wong akan bertemu Ketua Menteri New South Wales, Encik Chris Minns, dan mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor Jeneral, Cik Sam Mostyn.
Beliau juga dijangka akan bertemu warga Singapura di luar negara dalam satu majlis.
Dalam lawatan tersebut, Encik Wong akan diiringi isterinya; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Kemampanan dan Sekitaran merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu; Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Jeffrey Siow; Anggota Parlimen Encik Alex Yeo (Potong Pasir) dan Dr Hamid Razak (GRC West Coast–Jurong West).
Sepanjang ketiadaan Encik Wong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan), Encik Gan Kim Yong, akan memangku jawatan Perdana Menteri, menurut PMO lagi.
