PM Wong lawat Jepun 17-19 Mac sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik
PM Wong lawat Jepun 17-19 Mac sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, akan memulakan lawatan rasmi ke Tokyo, Jepun, dari 17 hingga 19 Mac sebagai sebahagian daripada lawatan pengenalan beliau melibatkan rakan kongsi utama di rantau ini.
Pejabat Perdana Menteri (PMO), dalam satu kenyataan pada 16 Mac, memaklumkan lawatan itu bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Singapura dengan Jepun yang bersejarah.
Di Tokyo, Encik Wong dijadual menemui Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, dan akan diberi sambutan Kawalan Kehormatan.
Cik Takaichi juga akan menganjurkan jamuan makan malam kerja untuk beliau.
Selain itu, Encik Wong akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin politik dan perniagaan kanan Jepun, serta beramah mesra dengan rakyat Singapura yang menetap di Jepun dalam satu majlis resepsi di Tokyo.
Semasa lawatannya ke Jepun, Encik Wong akan diiringi oleh Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Turut sama ialah Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann; Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam; dan Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo.
Semasa ketiadaannya dari 17 hingga 19 Mac, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, akan menjadi Pemangku Perdana Menteri, kata PMO.
Lawatan rasmi terakhir Encik Wong ke Jepun adalah pada Mei 2023 sebagai Timbalan Perdana Menteri, di mana beliau bertemu dengan Perdana Menteri Jepun ketika itu, Encik Fumio Kishida, serta pemimpin politik dan perniagaan Jepun yang lain.
Jepun merupakan salah satu rakan ekonomi Singapura yang paling penting, dan sentiasa tersenarai antara 10 rakan kongsi utama dalam perdagangan dan pelaburan.
Dari segi perdagangan barangan, Jepun merupakan rakan dagang kelapan terbesar Singapura pada 2025 ($56.1 bilion) dan Singapura merupakan rakan dagang ke-14 terbesar Jepun.
Singapura juga merupakan pelabur asing yang penting di Jepun, sebagai pelabur ketiga terbesar Jepun mengikut saham pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak $44.7 bilion pada 2024.
Kedua-dua negara turut menikmati hubungan kukuh dengan lebih 620,000 pelawat dari Jepun tiba ke Singapura, dan 720,000 pelawat dari Singapura mengunjungi Jepun pada 2025.

