Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong: Masyarakat saling percaya kunci perpaduan rakyat
PM Wong: Masyarakat saling percaya kunci perpaduan rakyat
Walaupun dasar pemerintah membantu mewujudkan keadaan yang membolehkan rakyat Singapura daripada pelbagai latar belakang bergaul dan berkembang sama, pucuk pangkalnya perpaduan dipupuk oleh masyarakat yang saling mempercayai, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Memberi ucapan sempena sambutan Ulang Tahun ke-85 Liga Muslim Kadayanallur Singapura (SKML), Encik Wong berkata Singapura memilih untuk membina sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama – sedang perbezaan kaum dan agama sering menjadi jurang yang memecahbelahkan masyarakat di serata dunia.
“Kita mempunyai ruang bersama dan pengalaman yang dikongsi di sekolah, kawasan kejiranan, tempat kerja dan melalui Perkhidmatan Negara, yang membolehkan rakyat Singapura daripada pelbagai latar belakang bergaul, bersosial, menjalin persahabatan dan membesar bersama.
“Dasar pemerintah telah membantu mewujudkan keadaan yang diperlukan, namun, akhirnya, perpaduan dan semangat kebersamaan ini dibina oleh masyarakat sendiri.
“Ia bergantung kepada keyakinan setiap masyarakat terhadap identiti masing-masing, sambil bersedia untuk mendekati satu sama lain, merapatkan jurang dan membina kepercayaan sesama kita,” ujar Encik Wong.
Sambutan yang diadakan pada 12 September di D’Marquee, Downtown East itu menandakan pencapaian lapan dekad sumbangan SKML dalam pembangunan kebajikan sosial, warisan budaya, dan pendidikan komuniti.
Turut hadir ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, selain beberapa Menteri dan Anggota Parlimen (AP) lain.
Encik Wong menambah bahawa Singapura telah memastikan setiap masyarakat mempunyai tempat tersendiri dan bebas mengamalkan agama, menggunakan bahasa serta meraikan budaya masing-masing.
Namun, beliau menggesa agar Singapura terus berusaha memupuk hubungan antara masyarakat dan memperkukuh ikatan kepercayaan yang menjadi asas kepada perpaduan masyarakat.
“Di serata dunia, masyarakat semakin berpecah belah dan menjadi lebih terpisah. Singapura juga tidak terkecuali daripada cabaran ini.
“Oleh itu, kita mesti terus berusaha memupuk hubungan antara satu sama lain serta memperkukuh ikatan kepercayaan yang menyatukan masyarakat kita,” kata Encik Wong.
Selain itu, meskipun masyarakat Singapura adalah masyarakat yang harmoni dan stabil, kata Encik Wong, dari masa ke masa akan ada segmen yang memisahkan antara warga asing dengan rakyat Singapura.
“Malah dalam kalangan rakyat Singapura sendiri, mereka akan memisahkan antara warga tempatan dengan warga asing yang menjadi rakyat (Singapura), dan dalam masyarakat kita, mereka akan memisahkan antara bangsa dan agama.
“Cabaran-cabaran ini adalah benar.
“Oleh itu, sedang kita terus menambah baik dasar untuk menangani kebimbangan mengenai tekanan kos, pekerjaan, dan memastikan setiap rakyat Singapura mendapat bahagian daripada kemajuan negara, kita mesti, pada masa yang sama, terus berusaha untuk memupuk hubungan kita dan memperkukuh ikatan kepercayaan yang menyatukan masyarakat kita,” kata Encik Wong.
Beliau memetik isu komen berbaur perkauman berkaitan pelaburan Singapore Airlines (SIA) dalam Air India baru-baru ini sebagai contoh.
Dalam pada itu, Encik Wong berkata pertubuhan seperti SKML adalah penting, bukan sahaja bagi masyarakat India Muslim, tetapi sebagai rakan kerjasama dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Yayasan Mendaki dan Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda).
Encik Wong berharap SKML dapat memainkan peranan aktif dalam memperkukuh hubungan dalam kalangan masyarakat India, di samping menjadi jambatan antara masyarakat India dengan masyarakat Islam di Singapura, bersama Inisiatif Penglibatan dan Pembangunan Masyarakat India (INEI).
INEI, yang dipengerusi bersama Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Undang-Undang), Encik Murali Pillai, dan Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, diperkenalkan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) pada 5 Mac.
Dalam pada itu, Presiden SKML, Encik Raja Mohamad, menyatakan bahawa sambutan ke-85 persatuan itu bukan sekadar memperingati sejarah persatuan, malah menjadi titik tolak untuk memperkukuh komitmen persatuan dalam memimpin kebajikan komuniti, kemajuan pendidikan, dan pemeliharaan warisan sastera demi generasi akan datang.
Sementara itu, satu dana bantuan kewangan khas ‘SKML Ascend Education Fund’ yang direka sebagai pilihan terakhir bagi melengkapi bantuan kewangan sedia ada, turut dilancarkan.
Dana ini bertujuan membantu pelajar pengajian tinggi tempatan di Singapura serta mereka yang menuntut di 50 institusi terbaik carta QS di rantau ini, bagi memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada kecemerlangan akademik.

