Sebagai penduduk dan pemimpin akar umbi divisyen Limbang dalam GRC Marsiling-Yew Tee, Encik Shabirin Ariffin, bekerja rapat bersama Perdana Menteri Lawrence Wong, yang juga penasihat pertubuhan akar umbi divisyen itu.
Daripada interaksi beliau bersama Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, Encik Shabirin mendapati beliau sentiasa menekankan tentang kebajikan dan kesejahteraan penduduknya.
Encik Shabirin, 47 tahun, dan beberapa pemimpin akar umbi serta penduduk lain yang ditemui Berita Minggu baru-baru ini berkata mereka mendapati Encik Wong sentiasa terbuka kepada cadangan dalam setiap perbincangan, selagi ia bermanfaat bagi penduduk.
“Dalam setiap perbincangan, Encik Wong sentiasa ingin dengar penerangan kami tentang apa jua yang dapat memberi manfaat kepada penduduk.
“Malah Encik Wong begitu teliti tentang perkara yang mungkin dianggap kecil, seperti tisu atas setiap meja dalam acara masyarakat yang dianjurkan,” kata Encik Shabirin.
Pada 15 Mei, Encik Wong mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura.
Encik Shabirin, penduduk di Choa Chu Kang North dalam divisyen Limbang, aktif selaku pemimpin akar umbi di situ sejak lima tahun lalu.
Naib pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Limbang dan Rangkaian Penduduk (RN) estet Villa Verde serta anggota Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat (CCMC) Limbang itu berkata, Encik Wong sering memberi perhatian pada usaha menarik golongan muda melibatkan diri dalam khidmat kemasyarakatan.
“Setiap kali ada acara masyarakat, Encik Wong sentiasa ingin lihat lebih ramai anak muda terlibat sama. Dan itulah yang sentiasa menjadi matlamat kami setiap kali dianjurkan acara kemasyarakatan,” ujar bapa dua anak perempuan itu, yang turut disertai anak sulungnya, 19 tahun, dalam beberapa acara.
Setiausaha RN estet Stagmont Park, Encik Muhammad Alfi Muhammad Ramli, 32 tahun, berkata sikap Encik Wong yang mudah selesa dengan sesiapa membuat beliau begitu popular dalam kalangan penduduk.
Beliau memberi contoh betapa Encik Wong sedia menyingsing lengan melakukan kerja bersama sukarelawan.
Encik Alfi, seorang eksekutif teknologi maklumat, memberi contoh semasa Ramadan 2024, GRC itu mengagih bubur di kawasan Limbang.
“Encik Wong sendiri turun padang dan dengan inisiatifnya sendiri membantu memasukkan bubur dan kurma dalam plastik yang disediakan,” katanya.
Keselesaan Encik Wong bersama masyarakat Melayu/Islam dirasakan pengerusi M Kuasa Tiga (M³) Marsiling-Yew Tee, Cik Rahidah Mohd Noor, 57 tahun, yang memberi contoh Encik Wong melahirkan rasa senang tatkala melihat ramai hadirin dalam sebuah forum Maulud pada 2023 di Kelab Masyarakat Limbang.
Encik Wong turut menyampaikan ucapan pada majlis tersebut, katanya.
“Sekitar 200 hadirin tampil dan beliau begitu teruja melihatkan silaturahim dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam di Limbang. Encik Wong sentiasa memberi sokongannya pada program melibatkan orang Melayu/Islam.
“Harapan kami beliau akan terus memberikan sokongan padu kepada usaha-usaha kemasyarakatan kami,” ujarnya.
Seorang lagi pemimpin akar umbi, Encik Azriman Mansor, 53 tahun, berkata walaupun interaksinya dengan Encik Wong hanya menerusi acara-acara anjuran GRC itu, beliau dapat melihat kebijaksanaan dan keselesaan Perdana Menteri itu bergaul dengan penduduk.
“Beliau mengamalkan pendekatan konsultatif. Personaliti sedemikian menjadikannya mudah dihampiri oleh sesiapa sahaja,” kata bendahari Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Marsiling dan anggota CCC Tanjong Pagar itu.
Layanan baik Encik Wong kepada penduduk dan pemimpin akar umbinya bukan semasa acara atau perbincangan dalam mesyuarat sahaja, malah lebih daripada itu.
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Wanita (WEC) Limbang, Cik Kelly Chong Pei Wen, 40 tahun, memberi contoh Encik Wong meminta maaf kepadanya kerana tidak hadir semasa kematian bapanya. Ia berlaku ketika sebuah majlis jamuan tengah hari pelan kerja kawasan undi pada 2019.
“Beliau panggil saya ke tepi untuk berbual dengan saya secara peribadi. Saya sangka beliau akan berbual tentang acara makan tengah hari pada hari itu, namun saya terkejut kerana beliau meminta maaf pada saya kerana tidak dapat hadir di upacara persemadian mendiang bapa saya tiga minggu sebelum itu.
“Saya teruja melihat betapa beliau begitu merendah diri, dan ia menunjukkan beliau prihatin akan keperluan pemimpin akar umbi,” kata Cik Chong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg