Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong: Pemerintah sedang teliti skim baharu bantu pekerja peringkat permulaan
Majikan juga perlu lebih bersungguh-sungguh melatih, membimbing pekerja baharu.
PM Wong: Pemerintah sedang teliti skim baharu bantu pekerja peringkat permulaan
Singapura mesti terus memastikan asas-asas yang betul dikekalkan sedang ia beralih ke dunia kecerdasan buatan (AI).
Ini bermakna memastikan AI tidak digunakan sebagai jalan pintas untuk pembelajaran di sekolah, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Semasa berucap di Persidangan DBS Asia Future Forward pada 12 Oktober, Encik Wong berkata majikan juga perlu lebih serius dan teliti dalam melatih serta membimbing kakitangan baharu mereka.
Hal ini, katanya, merupakan sesuatu yang pemerintah ingin syarikat-syarikat di Singapura memberikan perhatian.
“Kami bimbang bahawa peringkat permulaan dalam tangga kerjaya mungkin terjejas, menyebabkan golongan muda tidak mendapat latihan yang mencukupi.
“Dan kami mahu syarikat-syarikat memberi perhatian terhadap perkara ini,” kata beliau.
“Justeru, kami sedang meneliti sama ada terdapat keperluan untuk program atau skim baharu.”
Beliau menegaskan bahawa negara ini juga akan menerapkan AI pada kadar yang memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara meluas serta meningkatkan taraf hidup seluruh rakyat Singapura.
“Kami mahu teknologi diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik bagi rakyat Singapura; oleh itu, matlamat kami bukanlah untuk menjadi masyarakat yang dipacu oleh AI,” ujarnya.
“Sebaliknya, kami berusaha untuk menjadi masyarakat yang lebih baik dengan diperkasakan oleh AI.”
Semasa sesi dialog bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS, Cik Tan Su Shan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec, Encik Wong berkata para majikan mahukan pekerja yang celik AI.
Namun pada masa yang sama, mereka juga ingin pekerja yang berkebolehan, mampu berfikir dengan pantas serta menggunakan pertimbangan yang baik.
Atas sebab itulah para pelajar mesti terus mempelajari perkara asas seperti matematik dan algebra.
Dalam hal ini, Encik Wong berkata pelajar Singapura terus berprestasi sangat baik mengikut piawaian antarabangsa.
Beliau memetik ukuran seperti kedudukan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa) anjuran Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).
Penyesuaian yang lebih besar, katanya, adalah di tempat kerja kerana pekerja baharu sering ditugaskan melakukan kerja harian secara rutin yang bakal digantikan oleh AI.
Namun begitu, beliau berkata terdapat nilai dan pembelajaran tersirat daripada melakukan kerja sedemikian.
Justeru dalam hal ini, Encik Wong berkata syarikat mesti berhati-hati agar tidak mengautomasikan tugasan sehingga menghilangkan proses pembelajaran daripadanya.
“Kami sedang bekerjasama dengan rakan-rakan tiga pihak mengenai perkara ini, kerana kami mahu majikan memanfaatkan AI sepenuhnya untuk mendapatkan faedah produktiviti,” kata beliau.
“Tetapi kami juga mahu memastikan majikan memberi perhatian kepada latihan dan terus memupuk generasi pemimpin industri yang seterusnya.”
Semasa sesi dialog itu, Cik Tan turut merujuk kepada ikrar yang dibuat oleh Encik Wong semasa Rapat Hari Pekerja 2026, di mana beliau menyatakan bahawa pemerintah akan melindungi setiap pekerja, walaupun mungkin tidak dapat melindungi setiap pekerjaan.
Beliau bertanya sama ada ini bermakna Singapura mengambil jalan yang lebih sukar dengan bergerak sedikit perlahan dalam penggunaan AI agar tidak meninggalkan sesiapa pun di belakang.
Cik Tan menambah ini memandangkan “ia lebih mudah untuk sekadar berkata saya akan memecat ribuan pekerja dan menggantikan mereka dengan AI”.
Dalam jawapannya, Encik Wong berkata Singapura telah memilih jalan yang lebih sukar itu, namun percaya ini akan menjadi laluan yang lebih mampan untuk jangka panjang.
Sebaliknya, jika AI dibiarkan memecut pada kadar sedemikian sehingga menyebabkan pengangguran sejagat secara besar-besaran, Encik Wong berkata ia akan mengakibatkan penentangan yang sangat kuat terhadap teknologi.
Malah pada masa ini, sesetengah penentangan seperti ini sudah dapat dilihat di beberapa negara, tambah beliau.
“Saya tidak fikir dunia boleh berterusan sedemikian,” kata beliau. “Ia tidak akan dapat diterima oleh orang ramai di seluruh dunia.”
Bagi Singapura, Encik Wong melakarkan senario di mana AI dilaksanakan secara meluas dalam tempoh kira-kira satu dekad.
Ini, katanya, akan memberikan masa yang mencukupi bagi pekerja yang terjejas untuk dilatih semula dan dipadankan dengan peluang pekerjaan baharu.
Sebagai contoh, beliau berkata pemerintah menyedari bahawa pemberhentian kerja akan berlaku dari semasa ke semasa apabila syarikat mengautomasikan operasi dan mengguna pakai teknologi.
“Tetapi lakukan dengan betul. Berlaku adil kepada pekerja,” kata beliau.
“Berikan notis awal kepada pekerja supaya kesatuan sekerja boleh tampil membantu mereka melatih semula diri dan mendapatkan pekerjaan baharu.”
Encik Wong berkata pemerintah juga akan membantu dengan lebih banyak program sokongan.
“Jika kita semua bekerjasama seiring sejalan, kita boleh menguruskan peralihan dan kesan daripada anjakan teknologi yang sangat besar ini.”
Beliau menambah: “Itulah yang sedang kita lakukan di Singapura, dan diharapkan dari semasa ke semasa ekonomi sejagat juga akan dapat melakukan perkara yang sama untuk seluruh dunia.”
Di tengah-tengah perubahan teknologi ini, Encik Wong berkata tawaran nilai Singapura adalah untuk menjadi sistem terbuka yang boleh disertai oleh pelbagai syarikat dan rakan kongsi AI dari seluruh dunia.
Ini merupakan pendekatan sama yang akan diambil oleh Asean sedang ia mengukuhkan rangka kerja kerjasama digitalnya, tambah beliau.
Encik Wong berkata Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean (Defa) yang dijangka ditandatangani oleh pemimpin serantau pada Sidang Kemuncak Asean yang bakal berlangsung di Manila merupakan “langkah pertama namun penting” untuk menyelaraskan peraturan terpisah yang perlu dihadapi oleh perniagaan ketika ini.
Matlamat utamanya adalah untuk membolehkan syarikat mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih lancar di seluruh Asean serta mengurangkan halangan dan kos pembayaran rentas sempadan.
Namun, Encik Wong berkata, masih banyak kerja yang perlu dilakukan.
“Tahun depan, apabila Singapura memegang jawatan Pengerusi Asean, kita akan melihat bagaimana kita boleh memberikan keutamaan kepada sebahagian daripada inisiatif ini,” kata beliau.