Selama beberapa dekad, para penggubal dasar akan menentukan apa yang perlu dilakukan sebelum melibatkan pasukan teknologi untuk membangunkan sistem bagi melaksanakan dasar-dasar tersebut.

Kini, pemerintah sedang mengubah pendekatannya.

Menyeru agar berlaku perubahan minda dalam seluruh perkhidmatan awam, Perdana Menteri Encik Lawrence Wong menyatakan pada 5 November bahawa penggubal dasar dan pakar teknologi perlu bekerjasama dengan lebih awal dan lebih rapat.

“Mengubah tabiat dan cara kerja yang telah lama diamalkan akan memakan masa. Namun, hala tujunya jelas,” ujar beliau, sambil menggariskan fasa seterusnya bagi transformasi digital pemerintah Singapura.

“Teknologi tidak boleh dianggap sebagai perkara sampingan dalam penggubalan dasar. Ia mesti menjadi sebahagian daripada proses tersebut sejak dari peringkat awal lagi.”

Beliau berucap di majlis makan malam ulang tahun ke-10 Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands.

Menurut Encik Wong, GovTech akan memainkan peranan penting dalam fasa seterusnya transformasi digital Singapura, yang juga boleh dipertingkatkan dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkasakan pegawai perkhidmatan awam menghasilkan penyelesaian lebih baik.

“Kadangkala, penyelesaian terbaik bukanlah teknologi yang lebih canggih, tetapi dasar yang lebih ringkas,” katanya.

“Daripada berkata: ‘Ini dasarnya – bagaimana kita meminta bahagian IT untuk melaksanakannya?’ kita sepatutnya bertanya: ‘Ini perkara yang ingin kita capai; bagaimanakah kita boleh merangka dasar dan teknologi secara bersama untuk merealisasikannya dengan cara yang terbaik?’ ” tambahnya.

Sebagai contoh, beliau menyebut Penguasa Perakaunan dan Pengawalseliaan Korporat (Acra) yang sebelum ini mempunyai 33 gabungan berbeza bagi penalti berkaitan kelewatan pemfailan.

Daripada membangunkan sistem teknologi berdasarkan dasar yang rumit itu, pemerintah memutuskan untuk mengurangkan 33 gabungan tersebut kepada hanya empat.

“Hasilnya ialah dasar yang lebih ringkas, sistem yang lebih mudah dan hasil yang lebih baik,” kata beliau.

Encik Wong berkata penggubal dasar – termasuk Menteri kabinet – perlu membangunkan pemahaman yang lebih baik tentang teknologi supaya mereka dapat mengambil kira perkara tersebut semasa merangka dasar.

“Ia bertujuan untuk memupuk naluri bagi mengemukakan soalan-soalan yang tepat, menghargai pelbagai kemungkinan serta kekangan yang ada, dan memahami bagaimana teknologi dapat membantu membentuk pilihan dasar yang lebih baik,” kata Encik Wong.

Pada masa yang sama, pegawai GovTech juga perlu mengambil bahagian secara aktif dalam menangani cabaran dasar awam, termasuk mencabar andaian sedia ada dan mempersoalkan keperluan yang boleh menimbulkan kerumitan tidak perlu.

Fasa seterusnya transformasi digital itu turut memerlukan pasukan teknologi mengubah cara mereka melaksanakan projek.

Encik Wong, secara tradisinya, banyak projek teknologi maklumat pemerintah menggunakan pendekatan bak 'air terjun'.

Pendekatan ini merangkumi proses mengumpul keperluan projek, mendapatkan kelulusan, melantik vendor, membangunkan keseluruhan sistem, melancarkannya, dan seterusnya menyelenggaranya.

Ini melibatkan proses mengumpulkan keperluan projek, mendapatkan kelulusan, melantik vendor, membangunkan keseluruhan sistem sebelum melancarkannya dan kemudian menyelenggarakannya.

Walaupun pendekatan itu sesuai bagi projek infrastruktur, ia kurang berkesan bagi pembangunan perisian kerana teknologi berkembang pesat dan keperluan pengguna sentiasa berubah.

Sebaliknya, GovTech mengamalkan pendekatan secara berperingkat dengan memperkenalkan produk kepada pengguna lebih awal, mendapatkan maklum balas mereka dan membuat penambahbaikan secara berterusan.

“Kita perlu memudahkan pasukan di seluruh pemerintah untuk bekerja dengan cara sedemikian,” katanya.

“Ini bermakna bukan sahaja amalan teknologi perlu diubah, malah proses yang mengawal pelaksanaan projek, termasuk bagaimana kami menentukan skop projek, membiayainya, melaksanakannya melalui perolehan, serta memastikan pasukan bertanggungjawab terhadap hasil yang dicapai.”

Apabila sistem dilancarkan, ia memerlukan pasukan untuk terus menambah baik sistem tersebut dari semasa ke semasa, memastikan ia kekal selamat dan boleh dipercayai, serta menjamin ia terus memberikan nilai.

Encik Wong menyatakan bahawa, daripada setiap agensi pemerintah membina sistem sendiri dari peringkat awal, pemerintah sebaiknya menggunakan lebih banyak platform dan komponen yang bersifat umum – seperti yang telah dibangunkan oleh GovTech.

Selain sekadar menggunakan chatbot AI atau memanfaatkan AI untuk merangka dan menyunting dokumen, pemerintah juga berhasrat memperkasakan pegawai untuk menggunakan alat dan ejen AI – iaitu bot yang mampu melaksanakan tindakan dengan pengawasan manusia yang minimum – bagi menyelesaikan masalah dan menambah baik cara kerja dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, Encik Wong menegaskan bahawa pemerintah perlu memperkukuh infrastruktur data awam, melengkapkan pegawai dengan kemahiran dan peralatan yang sewajarnya, serta mewujudkan langkah-langkah perlindungan yang diperlukan.

“Namun, inilah hala tuju yang mesti kita tuju. Tujuannya adalah untuk menyepadukan teknologi, operasi, dan dasar dengan lebih erat, serta membolehkan pegawai di seluruh sektor pemerintah mengambil inisiatif, membangunkan penyelesaian, dan terus menambah baik cara kita bekerja serta memberikan perkhidmatan kepada rakyat Singapura,” ujar beliau.

Di samping membina sistem teknologi baharu, sistem sedia ada juga perlu dimodenkan kerana sistem yang sudah lama menjadi semakin sukar untuk diselenggara.

Penambahan ciri baharu pada sistem sebegini mengambil masa yang lebih lama, manakala kelemahan keselamatan pula menjadi semakin sukar untuk ditangani.

Beliau turut menyatakan bahawa perubahan dasar yang kelihatan mudah sekalipun boleh mengambil masa berbulan-bulan untuk dilaksanakan.

Encik Wong menambah bahawa aspek keselamatan dan daya tahan tidak boleh dianggap sebagai perkara sampingan; sebaliknya, ia “mesti dirancang ke dalam sistem kita sejak dari awal lagi, dan diperkukuh secara berterusan seiring dengan perkembangan ancaman”.

Hal ini kerana gangguan serius terhadap sistem digital pemerintah boleh menjejaskan perkhidmatan awam yang penting.

Akhir sekali, Encik Wong menekankan bahawa perubahan yang diperlukan untuk transformasi digital Singapura sangat bergantung kepada faktor manusia.

“Kita memerlukan individu yang mempunyai kepakaran mendalam serta komitmen yang kuat terhadap khidmat awam.

“Mereka perlu memahami teknologi, di samping memahami dasar dan operasi. Mereka juga harus sentiasa belajar, memandangkan teknologi dan kemahiran yang diperlukan akan terus berubah,” kata beliau.

Sambil menyatakan bahawa GovTech mesti terus memperbaharui keupayaannya dan kekal sebagai wadah bagi pakar-pakar untuk terus mengasah kemahiran mereka, Encik Wong turut menyentuh mengenai langkah penstrukturan semula yang telah dilaksanakan oleh agensi tersebut baru-baru ini.

Sejak Julai, GovTech telah memberhentikan 131 orang daripada jumlah tenaga kerjanya seramai 3,900 orang melalui dua pusingan pemberhentian, dengan satu lagi pusingan bakal menyusul.

Ia menjangkakan sejumlah 7% hingga 9% daripada tenaga kerjanya akan terjejas dalam tempoh dua tahun akan datang, termasuk pusingan ketiga tersebut.

Encik Wong menyatakan pada 5 November:

“Saya sedar bahawa tempoh ini merupakan masa yang sukar bagi sesetengah pegawai. Kami akan terus menyokong pegawai-pegawai yang terjejas ini sementara mereka memperoleh kemahiran baharu dan bersiap sedia untuk peluang-peluang baharu, sama ada di dalam GovTech mahupun di luar organisasi tersebut.”

Selain membina keupayaan teknologi dalam GovTech, beliau berkata bahawa pemerintah juga perlu menyepadukan kepakaran teknologi secara mendalam ke seluruh perkhidmatan awam.

“Oleh sebab itu, sepanjang tahun lalu, GovTech telah berusaha mendekatkan keupayaan produk dan kejuruteraannya dengan agensi-agensi barisan hadapan,” ujar beliau, merujuk kepada kakitangan GovTech yang ditempatkan di agensi-agensi lain.

“Kami akan terus memperkukuh usaha ini bagi meluaskan kepakaran dan keupayaan GovTech ke seluruh jentera pemerintah.”

“Matlamat kami bukan sekadar untuk memiliki sebuah agensi teknologi yang kukuh. Sebaliknya, kami mahu mewujudkan sebuah pemerintah yang kuat dari segi teknologi,” kata Encik Wong.

“Sebuah pemerintah yang menjadikan teknologi sebagai elemen penting dalam penggubalan dasar; di mana para penggubal dasar memahami potensi yang boleh ditawarkan oleh teknologi; di mana golongan pakar teknologi memahami objektif dasar serta realiti operasi; dan di mana kedua-dua pihak dapat bekerjasama untuk memberikan hasil yang lebih baik demi manfaat rakyat Singapura.”