Singapura dan Indonesia terus berkongsi hubungan baik kedua-dua di peringkat dua hala dan pemimpinnya, dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengadakan perbincangan “terus terang dan membina” semasa pertemuan mereka di Sidang Kemuncak Asean ke-49 yang baru berakhir di Manila, Filipina.

Ditemui media Singapura susulan sidang kemuncak itu pada 17 November, Encik Wong turut menegaskan komitmen Singapura untuk terus memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

“Saya telah mengadakan pertemuan yang baik dengan Presiden Prabowo. Hanya kami berdua.

“Kami mengadakan perbincangan yang baik; terus terang dan membina,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Encik Wong menambah bahawa kedua-dua pemimpin itu sememangnya mempunyai hubungan peribadi yang baik. Mereka telah bertemu di Jakarta sebelum ini, dan terus mengekalkan komunikasi.

Sidang kemuncak di Manila itu memberikan mereka satu peluang untuk bertemu sekali lagi di pentas Asean.

Encik Wong berkata Singapura mahu melihat Indonesia berjaya kerana Indonesia adalah rakan kongsi yang rapat dan penting bagi negara ini.

“Kami mempunyai kerjasama yang penting dan sangat substantif merentasi pelbagai bidang.

“Oleh itu, hubungan (dua hala) ini diteruskan, dan saya akan terus berinteraksi dengan beliau dan menanti-nantikan peluang untuk bekerjasama rapat dengan beliau bagi memastikan kita dapat melakukan kerjasama dan kolaborasi yang memanfaatkan kedua-dua belah pihak dalam pelbagai bidang,” tambah beliau.

Episod jerebu rentas sempadan yang berulang telah menjejas hubungan diplomatik antara Indonesia dengan negara jirannya, Singapura dan Malaysia.

Indonesia telah mempergiatkan usaha menangani kebakaran hutan dan lahan di negaranya yang menyumbang kepada pencemaran jerebu di rantau ini.

Antara lain, Singapura dan Indonesia juga membentuk pasukan petugas bersama untuk menyelaras dan berkongsi maklumat dalam usaha menjejak syarikat yang membakar hutan dan menyebabkan jerebu.

Di sidang kemuncak yang baru berlalu itu, Encik Prabowo telah memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura berhubung jerebu toksik yang berpunca daripada kebakaran hutan berleluasa di negaranya, yang telah mencemari ruang udara negara jiran Indonesia.

Encik Wong pada 15 November di sidang itu telah menggesa Asean supaya mewujudkan satu platform serantau bagi menyelaraskan dan berkongsi maklumat mengenai syarikat yang bertanggungjawab terhadap kebakaran yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Diminta mengulas, Encik Wong berkata butiran pelaksanaannya akan perlu diusahakan, dan “masih banyak yang perlu dilakukan, dan diharapkan, susulan daripada pertemuan ini, kita akan dapat membuat kemajuan”.