Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Presiden Vietnam, Encik To Lam, telah menanam pokok Hopea recopei di Kebun Bunga Singapura pada 30 Mei bagi menandakan hubungan erat antara kedua-dua negara.

Ini dilakukan sempena lawatan negara empat hari Encik Lam ke Singapura atas jemputan Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Dalam satu hantaran Facebook pada 30 Mei, Encik Wong berkata pokok kukuh itu merupakan ‘lambang bersesuaian’ bagi hubungan erat antara Singapura dengan Vietnam.

“Seperti pokok itu, persahabatan antara Singapura dengan Vietnam berakar umbi dan akan terus berkembang serta menjadi lebih erat dari semasa ke semasa!” tulis Encik Wong dalam catatannya.

Difahamkan pokok itu berasal dari Vietnam, Kemboja, Laos dan Thailand.

Pada 30 Mei, Encik Wong juga menjadi tuan rumah jamuan makan tengah hari untuk Encik Lam, yang juga Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam.

Encik Lam pada 29 Mei menyampaikan ucaptama di Dialog Shangri-La (SLD) ke-23, menekankan keperluan untuk menegakkan tatanan berasaskan peraturan, serta mengamalkan sikap kawal diri dan membina kepercayaan.

Itu merupakan ucapan Encik Lam yang pertama mengenai dasar luar Vietnam kepada khalayak antarabangsa sejak beliau dipilih sebagai presiden pada April 2026.