Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong rasmi majlis pecah tanah T5, dibuka jelang pertengahan 2030-an

May 14, 2025 | 4:18 PM
Foto model Terminal 5 Lapangan Terbang Changi di majlis pecah tanah pada 14 Mei.
Foto model Terminal 5 Lapangan Terbang Changi di majlis pecah tanah pada 14 Mei. - Foto ST

Terminal 5 Lapangan Terbang Changi dijangka dibuka secara berperingkat mulai pertengahan 2030-an, dan apabila selesai dibina nanti, akan menampilkan antara sistem suria atas bumbung yang terbesar di Singapura.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong telah merasmikan majlis pecah tanah bagi T5 di Changi East pada 14 Mei dan berkata terminal itu akan terus memperkukuh lagi kedudukan Singapura sebagai sebuah hab penerbangan.

Terminal mega itu, yang terletak dalam kawasan pembangunan Changi East seluas 1,080 hektar, akan menangani sekitar 50 juta pergerakan penumpang setahun.

Ia akan mempunyai tiga bahagian berbeza yang dihubungkan oleh Penggerak Penumpang Automatik (APM), yang seakan sky train yang ada hari ini.

Selain T5, kawasan pembangunan Changi East turut merangkumi sistem tiga landasan pesawat, pembinaan terowong dan sistem bawah tanah lain, kemudahan sokongan kawasan awam lapangan terbang dan penerbangan, dan Zon Perindustrian Changi East.

Dua kontrak untuk kerja-kerja asas dan prasarana kawasan luar kawalan pasport dan kastam di terminal baru itu yang bernilai sekitar $4.75 bilion telah dianugerahkan pada awal Mei, kata Changi Airport Group (CAG) dalam satu laporan sebelum ini.

Dalam ucapannya di majlis pecah tanah itu, Encik Wong berkata T5 telah lama dirancang, dan akan menjadi sebuah terminal mega yang bijak, mampan dan terhubung serta “sebesar semua terminal-terminal semasa kami yang digabungkan”.

T5 juga akan menjadi rumah kepada SIA Group, tambah Encik Wong.

Beliau berkata bahawa projek berbilang tahun itu akan membawa banyak peluang kepada rakyat Singapura, termasuk pekerjaan bermutu yang memerlukan kemahiran baru dalam bidang seperti sains data, robotik dan kemampanan.

“Pembinaan T5 merupakan usaha kejuruteraan yang penting dan rumit, dan perniagaan setempat kita akan berpeluang mengambil bahagian dalam proses ini.

“Dan apabila T5 beroperasi, akan terdapat lebih banyak permintaan bagi perkhidmatan dan pekerja, kedua-dua dalam lapangan terbang dan dalam industri lain yang akan tumbuh bersama dengannya,” kata beliau.

Majlis pecah tanah itu turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Changi Airport Group (CAG), Encik Yam Kum Weng.

Apabila T5 beroperasi menjelang pertengahan 2030-an nanti, Lapangan Terbang Changi akan terhubung ke lebih 200 bandar serata dunia.

Lapangan itu kini terhubung kepada sekitar 170 bandar, dengan bandar seperti Harbin di China dan Labuan Bajo di Indonesia ditambahkan ke dalam rangkaian mereka pada suku pertama 2025.

Lapangan Terbang Changi menangani rekod tahunan 68.4 juta pergerakan penumpang bagi tahun yang berakhir pada 31 Mac 2025.

Rancangan bagi T5 dan Changi East kali pertama diumumkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, semasa Rapat Hari Kebangsaan pada 2013, dengan kerja-kerja persiapan dimulakan.

Bagaimanapun, projek T5 itu tergendala selama dua tahun dek pandemik Covid-19 yang melanda pada 2020 sebelum dimulakan kembali pada 2022.

Terminal baru itu akan memanfaatkan teknologi dan automasi dalam operasi lapangan terbangnya dalam usaha mempertingkat kecekapan dan pengalaman untuk penumpang, serta meningkatkan produktiviti.

Contohnya, robot bagasi akan diuji bagi operasi di terminal dan di bawah keadaan hujan dan kilat untuk memastikan bagasi penumpang dihantar tepat pada masanya. Analitik video dan kecerdasan buatan (AI) pula akan digunakan untuk memantau kegiatan pesawat dan meramal kelewatan yang boleh berlaku dalam keberangkatan penerbangan.

T5 juga akan menggunakan sistem pengurusan bangunan bijak dengan sistem hawa dingin, pencahayaan pintar dan penyejukan hibrid yang menggunakan AI, selain dikuasai dengan tenaga lebih bersih.

“Kami kini sedang mengkaji kebolehlaksanaan memasan sistem suria di bumbungnya. Disebabkan saiz T5, ia akan menjadi salah satu sistem atas bumbung terbesar di Singapura,” kata Encik Wong.

Antara lain, T5 akan menampilkan sebuah sistem APM, yang seakan sky train, untuk membawa penumpang dari pintu ketibaan ke dewan imigrasi, sekali gus mengurangkan jarak berjalan untuk mereka.

Rangkaian APM itu juga akan dihubungkan ke terminal lain dari T5, untuk “menyediakan pengalaman ketersambungan yang lancar antara terminal, dan membolehkan Changi berfungsi sebagai satu lapangan terbang bersepadu”, kata Encik Wong.

Sebuah pusat pengangkutan darat juga akan disediakan untuk menyediakan pilihan kereta, teksi, MRT dan bas kepada penumpang.

Khususnya, Laluan Thomson-East (TEL) akan dilanjutkan untuk menghubungkan T5 ke kawasan pusat bandar, manakala Laluan Rentas Pulau (CRL) juga akan dilanjutkan untuk menghubungkan terminal itu ke hab baru seperti Daerah Digital Punggol dan Daerah Tasik Jurong.

Dengan Terminal Feri Tanah Merah yang terletak berdekatan, Encik Wong berkata usaha juga boleh diterokai bagi pemindahan udara-laut ke destinasi di negara-negara jiran.

Encik Wong berkata “langkah berani” bagi T5 itu dibuat untuk memastikan Changi sentiasa berada di hadapan, dan beliau yakin ia akan memberi manfaat kepada negara ini dalam perjalanan penerbangan yang seterusnya, menjangkau SG60.

“Ini kerana, seperti nenek moyang kita apabila mereka mula-mula membina Changi, kita berani untuk berimpian besar, dan mencapai matlamat tinggi.

“Ini kerana kita merancang untuk jangka panjang. Ini kerana kita telah membina sumber untuk melabur dalam projek ini dan menjadikan rancangan ini satu realiti,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg