Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong: SPH Media perkukuh keupayaan digital di bawah pimpinan Khaw Boon Wan
PM Wong: SPH Media perkukuh keupayaan digital di bawah pimpinan Khaw Boon Wan
SPH Media telah berjaya memperkukuh keupayaan digital dan multimedianya, meluaskan jangkauan audiens baharu, serta terus berkhidmat kepada rakyat Singapura menerusi empat bahasa rasmi di bawah kepimpinan Encik Khaw Boon Wan.
Demikian dinyatakan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menerusi hantaran di Facebook beliau pada 1 Oktober, menyusuli pengumuman pelantikan Encik Chan Yeng Kit, sebagai Pengerusi Eksekutif SPH Media Trust (SMT) dan SPH Media Holdings (SPHMH).
Encik Chan menggantikan Encik Khaw, yang bersara selepas berkhidmat selama lima tahun sebagai Pengerusi SMT dan SPHMH sejak 2021.
Encik Wong berkata kepimpinan Encik Khaw telah membantu meletakkan organisasi tersebut di atas landasan yang lebih kukuh untuk masa depan, di samping memastikan ia terus menyampaikan berita yang boleh dipercayai serta sudut pandangan penting buat rakyat.
“Sedang Boon Wan melepaskan jawatannya hari ini sebagai pengerusi, saya mengucapkan terima kasih atas kesediaan beliau menggalas tanggungjawab ini apabila dipanggil, kerana telah memimpin SPH Media mengharungi tempoh peralihan yang penting, serta atas perkhidmatan beliau yang berdedikasi selama bertahun-tahun demi Singapura!” kata Encik Wong.
Sementara itu, dalam ucapannya pada gala jamuan malam sempena sambutan 50 tahun akhbar The Business Times di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 1 Oktober, Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Jeffrey Siow, turut memberi penghargaan kepada Encik Khaw.
Encik Siow memuji kepimpinan Encik Khaw yang berteraskan prinsip penyatuan pasukan, memberi tumpuan kepada misi utama, serta menumpukan usaha pada perkara asas secara sabar.
“Lima tahun kemudian, pasukan baharu ini telah kukuh bertapak, dan transformasi SPH telah meraih momentum yang signifikan.
“Secara keseluruhan, Encik Khaw Boon Wan telah mendedikasikan hampir 50 tahun hidup beliau untuk perkhidmatan awam.
“Hadirin sekalian, sila sertai saya untuk mengucapkan terima kasih kepada Encik Khaw atas kepimpinan serta sumbangan seumur hidup beliau buat Singapura,” kata beliau.
Dalam catatan media sosialnya pada 1 Oktober, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, juga mengucapkan terima kasih kepada Encik Khaw atas nasihat dan kepimpinannya yang teguh sepanjang lima tahun lalu.
Beliau berkata sebagai Menteri Komunikasi dan Maklumat pada 2021, beliau bersyukur kerana Encik Khaw menerima jawatan pengerusi SMT.
Mengetahui bahawa Encik Khaw lebih suka menumpukan semula masa dan perhatiannya dalam persaraannya kepada keluarganya, Cik Teo berkata beliau menghargai kesediaan Encik Khaw menerima cabaran tersebut.