Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata Singapura mampu menangani impak daripada langkah pengetatan kawalan eksport cip kecerdasan buatan (AI) Amerika Syarikat yang terkini.

Beliau menjelaskan bahawa jumlah tinggi cip yang dirakamkan sebagai jualan ke negara ini sebahagian besarnya merupakan pemindahan sementara sebelum dibawa ke destinasi sebenar dan bukannya untuk kegunaan domestik.

Ditemui media Singapura pada 17 November susulan Sidang Kemuncak Asean ke-49 di Manila, Filipina, Encik Wong berkata rekod sering menunjukkan jumlah cip yang besar dijual ke Singapura, namun hakikatnya, sebahagian besar daripadanya tidak pernah memasuki pasaran tempatan.

“Sebahagian besarnya dipindahkan melalui Singapura, atau digerakkan terus ke negara lain.

“Hanya sejumlah kecil cip tersebut yang benar-benar masuk secara langsung ke Singapura,” kata beliau.

Encik Wong berkata demikian susulan langkah pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, pada 16 November yang mengeluarkan satu peraturan akan menyekat lagi akses China kepada cip AI terbaik daripada syarikat seperti Nvidia.

Sekatan baru terhadap eksport cip ke pusat data luar negara – seperti di Malaysia dan Thailand – akan menjejas syarikat China yang menggunakan pusat data tersebut untuk mendapatkan akses kepada cip AI canggih bagi melatih model AI mereka.

Peraturan tersebut akan memerlukan syarikat di Singapura, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Brazil memohon lesen eksport Amerika bagi cip yang paling canggih dalam usaha mengekang komponen berkenaan daripada dialihkan secara haram.

Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dan Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) dalam satu kenyataan bersama pada 16 November telah menyatakan bahawa Singapura sedang menilai impak peraturan baru itu, dan sedang mendekati syarikat terjejas untuk memahami potensi kesan ke atas perniagaan mereka.

Encik Wong berkata akan ada beberapa impak ke atas jumlah cip yang melalui Singapura, namun Singapura “mampu menangani kesannya”.

Apa yang lebih membimbangkan adalah cip yang masuk ke Singapura dan digunakan syarikat tempatan, terutamanya yang digunakan pusat data di sini, kata Encik Wong.

Encik Wong menambah bahawa pemerintah boleh membantu pihak berkuasa Amerika menjalankan pemeriksaan terhadap syarikat di Singapura jika mereka bimbang tentang cara syarikat itu menggunakan cip berkenaan.

“Kami bukan di sini untuk melaksanakan atau menguatkuasakan kawalan eksport negara lain, tetapi kami mahu memastikan perniagaan yang beroperasi di Singapura mematuhi kedaulatan undang-undang, serta akur dengan kawalan eksport yang mungkin dikenakan oleh negara asing.

“Sekiranya terdapat perniagaan yang menggunakan Singapura untuk memintas kawalan ini, atau jika ada perniagaan yang melanggar undang-undang Singapura, maka pastinya kami akan mengambil tindakan yang jelas dan tegas, kerana kami mahu menegakkan kedaulatan undang-undang dan reputasi Singapura sebagai sebuah hab perniagaan yang diyakini,” kata beliau.

Sekatan eksport cip Amerika yang terkini itu berpotensi menjejas kerjasama ekonomi digital yang ditekankan Encik Wong dalam sidang kemuncak di Manila itu, termasuk kerjasama dalam bidang AI antara Asean dengan China.

China telah menyarankan 2027 sebagai Tahun Kerjasama AI Asean-China.

Ditanya mengenai kerjasama itu, Encik Wong berkata kedua-dua China dan Asean akan mendekati satu sama lain untuk melihat apakah aplikasi dan projek yang boleh dilakukan.

“Sebagai contoh, ia mungkin membabitkan kenderaan berautonomi, AI perindustrian, dan pembuatan termaju.

“Pastinya apabila kita merangka dan melaksanakan projek-projek ini, kita harus memastikan aspek keselamatan siber, privasi data, dan semua kebimbangan seperti ini perlu diambil kira.

“Kita juga mesti pastikan bahawa projek berkenaan pada akhirnya akan membawa manfaat kepada perniagaan serta pekerja kita,” kata beliau.

Sidang kemuncak Asean kali ini turut menyaksikan kehadiran Encik Trump di Sidang Kemuncak Khas Asean-Amerika buat dua tahun berturut-turut.

Encik Wong, yang duduk bersebelahan Encik Trump semasa jamuan malam yang diadakan selepas sidang khas itu, berkongsi bahawa Asean menghargai komitmen Amerika untuk mendekati rantau ini, sambil menambah bahawa Amerika mempunyai kepentingan keselamatan dan ekonomi yang besar di Asia Tenggara.

Menjelang kepengerusian Singapura bagi Asean 2027, Encik Wong berkata usaha sedang giat dijalankan bersama pentadbiran Amerika bagi sambutan ulang tahun ke-50 hubungan Amerika-Asean pada 2027 nanti.

“Kami mahu Amerika terus mendekati Asia Tenggara, dan kami menghargai kehadiran Amerika di sini, dan presidennya yang memandang serius terhadap komitmen ini,” kata beliau.

“

“Kami bukan di sini untuk melaksanakan atau menguatkuasakan kawalan eksport negara lain, tetapi kami mahu memastikan perniagaan yang beroperasi di Singapura mematuhi kedaulatan undang-undang, serta akur dengan kawalan eksport yang mungkin dikenakan oleh negara asing.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti