Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: S’pura perlu bertindak sekarang, harung peralihan sejagat

Oct 23, 2025 | 8:25 PM
lawrence wong, roula khalaf, financial times, singapura, peralihan
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan), dalam wawancara bersama Editor Financial Times, Cik Roula Khalaf, pada 21 Oktober. - Foto MDDI

Singapura “tidak mampu untuk hanya menunggu bagi sesuatu berlaku” dan sedang menyesuaikan diri di tengah-tengah peralihan kepada dunia dengan pelbagai kuasa, di samping Amerika Syarikat berundur daripada peranan sejagatnya, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Meskipun tiada siapa yang tahu bagaimana peralihan itu akan berlaku, tiada keraguan bahawa ia akan menjadi kucar-kacir dan tidak dapat diramal.

“Tidak ada negara lain yang mampu atau bersedia mengisi kekosongan itu (peranan sejagat yang ditinggalkan Amerika).

“Oleh itu, kita berada dalam kedudukan tidak selesa, apabila peraturan lama tidak lagi terpakai, tetapi peraturan yang baru belum ditulis dan kita mesti bersiap sedia untuk menghadapi lebih banyak pergolakan di hadapan.

“Jadi apakah yang perlu kita lakukan dalam persekitaran ini? Kita tidak mampu untuk hanya menunggu bagi sesuatu berlaku atau berharap sesuatu akan berlaku secara ajaib.

“Kita perlu bertindak sekarang, rancang sekarang dan mula mengambil tindakan untuk melabur bersama dalam menangani masalah sejagat atau dalam membina hubungan perdagangan baru dan mengekalkan momentum liberalisasi perdagangan,” kata Encik Wong.

Bagaimanapun, Singapura tidak boleh melakukannya secara bersendirian dan akan melakukannya bersama negara lain yang berfikiran serupa untuk menangani ketidaktentuan, tambah Encik Wong.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama Editor Financial Times, Cik Roula Khalaf, pada 21 Oktober.

Mereka berbincang tentang, antara lain, perintah dunia yang sedang berubah dan implikasinya terhadap perdagangan dan keselamatan sejagat.

Menyentuh soal tarif, Encik Wong berkata Singapura masih dalam perbincangan dengan Amerika mengenai pengaturan tarif keutamaan untuk eksport farmaseutikal Singapura ke Amerika.

Walaupun Singapura dikenakan tarif asas 10 peratus sejak April, pada 25 September, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengumumkan tarif 100 peratus ke atas import produk farmaseutikal berjenama atau dipatenkan ke Amerika, yang berkuat kuasa pada 1 Oktober.

Namun begitu, ekonomi Singapura kekal berdaya tahan sejauh ini, disebabkan kegiatan ‘front-loading’ dan teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI), kata Encik Wong.

Kegiatan ‘front-loading’ merujuk kepada amalan apabila pengeksport dari seluruh dunia dan pengimport di Amerika berlumba-lumba menghantar barang sebelum tarif tersebut berkuat kuasa.

Encik Wong bagaimanapun memberi amaran tentang kelembapan ekonomi pada separuh kedua 2025.

“Disebabkan ketidaktentuan, perniagaan menahan pelaburan baru dan pengambilan pekerja baru dan kami mula melihat kelembapan umum dalam kegiatan perniagaan,” kata beliau.

Dalam wawancara itu, Encik Wong turut berkongsi pengalamannya menggalas peranan kepimpinan sebagai Perdana Menteri sejauh ini, sambil berkata tugas paling mencabar adalah dalam mengurus orang.

“Saya akan katakan yang paling sukar adalah mengurus orang. Anda tidak menyedari tahapnya sehingga anda melakukan tugas ini, bukan?

“Yang mana saya bukan hanya Perdana Menteri, saya juga mengetuai sebuah parti,” kata beliau.

Encik Wong menyentuh tentang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), sambil menambah beliau perlu memikirkan tentang soal pembaharuan parti dan anggota pasukan manakah yang perlu digugurkan.

“Sangat mudah untuk mengatakan, ‘mari kita teruskan dengan status quo. Saya tidak mahu menyinggung perasaan sesiapa. Tidak mengapa. Kita semua bergerak bersama’.

“Namun, jika saya melakukan kurang pembaharuan, saya akan menanggung padahnya lima, 10, 20 tahun dari sekarang.

“Oleh itu, keperluan melihat dengan teliti pada anggota pasukan, untuk bercakap dengan setiap seorang daripada mereka dan berkata, ‘Saya minta maaf, saya tidak dapat benarkan anda untuk teruskan. Saya perlu gugurkan anda’, itu sangat menyakitkan,” ujarnya.

“Jadi apakah yang perlu kita lakukan dalam persekitaran ini? Kita tidak mampu untuk hanya menunggu bagi sesuatu berlaku atau berharap sesuatu akan berlaku secara ajaib.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg