Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong: S’pura, Qatar perlu perkukuh perkongsian, teroka peluang kerjasama baharu
PM Wong: S’pura, Qatar perlu perkukuh perkongsian, teroka peluang kerjasama baharu
Pada masa ketidakpastian sejagat yang ketara, adalah amat penting bagi Singapura dan Qatar untuk memperkukuh perkongsian serta meneroka peluang baharu untuk bekerjasama.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyatakan demikian menerusi media sosial pada 19 Oktober, sejurus tiba di Doha bagi lawatan rasmi pertama beliau ke Qatar sebagai ketua pemerintah.
Berkongsi lanjut mengenai pertemuan beliau dengan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Al Thani, di Doha, Encik Wong berkata:
“Kami membincangkan cara-cara untuk memperdalam perkongsian kami, termasuk memperkukuh keselamatan tenaga dan daya tahan rantaian bekalan, serta meneroka peluang baharu dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan.”
Semasa pertemuan tersebut, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, menyatakan bahawa kedua-dua pemimpin turut saling bertukar pandangan mengenai perkembangan di Timur Tengah.
“Saya menyatakan penghargaan di atas peranan penting Qatar dalam memudahkan dialog serta usaha meredakan ketegangan di rantau ini.
“Kami berharap semua pihak akan terus mengutamakan diplomasi dan berusaha ke arah keamanan serta kestabilan yang berkekalan,” tambahnya.
Encik Wong sedang melakukan lawatan pertamanya ke Timur Tengah sebagai Perdana Menteri pada minggu ini, dengan persinggahan di Doha dari 18 hingga 20 Oktober, serta lawatan ke Abu Dhabi dan Dubai dari 20 hingga 22 Oktober.
Lawatan beliau ini diadakan atas undangan Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, dan Presiden Amiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.
Di Qatar, Encik Wong dijadual mengadakan pertemuan dengan ketua negara itu, Sheikh Tamim, serta mempengerusikan bersama Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi (HLJC) Qatar-Singapura yang kesembilan.
Ditubuhkan pada 2006, HLJC merupakan platform utama yang menentukan hala tuju strategik bagi hubungan antara dua negara.
Jawatankuasa tersebut kali terakhir bermesyuarat pada Ogos 2023 di Singapura, yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan ketika itu, Encik Teo Chee Hean, dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani.
Qatar merupakan rakan dagang barangan ketiga terbesar bagi Singapura dalam kalangan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dengan jumlah perdagangan barangan mencecah $8.53 bilion pada 2025.
Negara anggota lain dalam blok GCC itu ialah Bahrain, Kuwait, Oman, Arab Saudi dan UAE.
Qatar juga merupakan pengeluar dan pengeksport utama gas asli cecair (LNG) di peringkat sejagat, serta merupakan salah satu pembekal utama bagi Singapura.