Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong: Sukar tarik bakat sektor awam, swasta sertai Kabinet
Jurang pendapatan, penelitian awam antara faktor halang individu berkaliber ceburi politik
PM Wong: Sukar tarik bakat sektor awam, swasta sertai Kabinet
Usaha untuk menarik individu berkebolehan daripada perkhidmatan awam dan sektor swasta untuk tampil berkhidmat sebagai menteri kini menjadi satu cabaran yang semakin sukar buat Singapura.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menegaskan perkara itu semasa menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen pada 8 September berhubung respons pemerintah terhadap Laporan Jawatankuasa Semakan Gaji Pemegang Jawatan Politik dan Anggota Parlimen (AP) 2026.
Di Parlimen pada 8 September, Encik Wong mengumumkan bahawa pemerintah telah menerima cadangan jawatankuasa itu untuk mengemas kini tanda aras MR4 daripada $1.1 juta kepada $1.8 juta.
MR4 ialah gred rujukan bagi menentukan struktur gaji pemegang jawatan politik.
Namun, pemerintah tidak akan melaksanakan kenaikan penuh itu serta-merta, tetapi akan melaksanakan pelarasan khas sekali sahaja sehingga 9 peratus, iaitu kenaikan kepada $1.2 juta, bagi setiap pemegang jawatan politik.
Encik Wong berkata jurang pendapatan yang semakin melebar, kos peluang yang tinggi, penelitian awam dan pengorbanan keluarga yang besar menjadi antara faktor utama yang membuatkan bakat berpotensi teragak-agak untuk menyertai arena politik.
Mengulas tentang cabaran untuk menarik bakat daripada perkhidmatan awam, Encik Wong mendedahkan bahawa menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), beliau telah mendampingi beberapa setiausaha tetap kanan yang dinilai mempunyai potensi kepimpinan politik.
Namun, tiada seorang pun daripada mereka yang bersedia membuat peralihan tersebut meskipun mereka mempunyai pengalaman dan berpotensi mengambil alih portfolio utama dengan lebih cepat.
Meskipun pegawai lebih muda seperti Encik Jeffrey Siow, Encik David Neo dan Cik Jasmin Lau berjaya dibawa masuk, cabaran menarik bakat tetap tinggi, tambah Encik Wong.
“Usaha untuk menarik bakat daripada perkhidmatan awam semakin sukar.
“Penjawat awam kanan hari ini mempunyai kerjaya yang bermakna, tanggungjawab besar dan ganjaran yang kompetitif.
“Khidmat politik bermakna melepaskan laluan kerjaya itu, serta berdepan dengan pilihan raya dan penelitian awam.
“Jika jurang antara gaji perkhidmatan awam dengan gaji politik terus melebar, halangan itu akan menjadi semakin tinggi,” kata Encik Wong.
Encik Wong menambah cabaran untuk menarik bakat menyertai Kabinet juga lebih ketara apabila melibatkan sektor swasta.
Beliau berkata pakej ganjaran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat korporat terkemuka sering kali mencecah jutaan dolar setahun.
Encik Wong berkongsi beliau telah bertemu dengan beberapa CEO dan pemimpin perniagaan kanan sebelum pilihan raya lalu, namun tiada seorang pun yang bersedia menyertai politik.
“Pada peringkat itu, ganjaran boleh mencecah beberapa juta dolar setahun, jauh melampaui tanda aras MR4 yang disemak semula.
“Kita tidak cuba menyamai pendapatan mereka. Kita juga tidak akan mampu berbuat demikian.
“Namun apabila kita mendampingi individu berkaliber sedemikian, kita tidak boleh berpura-pura bahawa kos peluang itu tidak wujud,” jelas beliau.
Beliau menambah bahawa pengorbanan masa bersama keluarga dan penelitian awam yang terpaksa ditanggung oleh pasangan serta anak-anak turut menjadi pertimbangan utama.
Encik Wong menekankan bahawa pembaharuan kepimpinan merupakan keutamaan yang mendesak.
Beliau menarik perhatian bahawa tiga anggota Kabinet paling kanan — Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam; dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan — bakal mencecah usia 70 tahun atau lebih menjelang penggal pemerintah seterusnya.
“Kita tidak sepatutnya merancang atas dasar bahawa mereka akan terus memimpin kementerian-kementerian ini pada waktu itu,” kata beliau.
Menjelaskan ciri-ciri yang dicari dalam diri seorang menteri, Encik Wong menekankan tiga syarat atau kriteria utama iaitu keperibadian, kebolehan dan kesediaan untuk tampil berkhidmat.
Beliau menyifatkan watak dan integriti sebagai ‘faktor veto’ atau syarat mutlak.
“Jika seseorang itu tidak mempunyai integriti, nilai-nilai murni dan komitmen untuk berkhidmat, maka sejauh mana pun kebolehannya, individu tersebut tidak patut dilantik sebagai menteri,” tegas beliau.
Beliau menambah bahawa watak sahaja tidak mencukupi, sebaliknya seorang menteri juga memerlukan kecekapan, termasuk pertimbangan yang tepat, keupayaan dan kepimpinan untuk menjalankan tugas dengan baik.
“Di sinilah gaji menjadi relevan. Ia tidak menentukan siapa yang berkebolehan,” kata Encik Wong.
“Tetapi ia mempengaruhi sama ada cukup orang yang berkebolehan bersedia untuk tampil ke hadapan dan memikul tanggungjawab tersebut,” tambah beliau.
