Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong: Sumbangan Mayor perkukuh masyarakat, pupuk perpaduan rakyat
Tolak usulan Parti Pekerja untuk mansuh Pejabat Mayor
PM Wong: Sumbangan Mayor perkukuh masyarakat, pupuk perpaduan rakyat
Usaha Mayor di Singapura memperkukuh masyarakat dan membina Singapura yang lebih prihatin dan bersatu padu dan usaha mereka harus dikekalkan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Bercakap di Parlimen pada 10 September, Encik Wong berkata beliau enggan ’mengorbankan’ sumbangan yang diberikan oleh Mayor kerana ia berharga kepada masyarakat dan Singapura.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Parti Pekerja (WP) yang mengusul untuk memansuhkan Pejabat Mayor semasa Dewan membahaskan semakan gaji menteri dan penjawat politik lain, termasuk mayor.
Encik Wong berkata Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan Mayor berharga kepada masyarakat dan Singapura, kerana mereka menggembleng rangkaian sukarelawan yang lebih luas, mengambil tindak balas terhadap keperluan tempatan, dan menyumbang kepada inisiatif seperti baucar CDC dan inisiatif ‘Jobs Nearby’.
“Lihat nilai yang telah disumbangkan oleh CDC dan para Mayor kepada masyarakat dan Singapura, termasuk menggembleng rangkaian sukarelawan yang lebih luas, bertindak balas terhadap keperluan setempat serta menyumbang kepada inisiatif seperti Baucar CDC dan skim ‘Jobs Nearby’.
“Saya tidak mahu mengorbankan sumbangan-sumbangan ini.
“Saya bangga dengan semua Mayor kita dan sumbangan yang mereka berikan kepada Singapura,” kata Encik Wong.
Inisiatif Jobs Nearby@CDC, yang dilancarkan pada 2025, bertujuan memadankan pekerja dengan peluang pekerjaan yang terdapat di kawasan sekitar kediaman mereka.
Encik Wong berkata demikian semasa menggulung perbahasan kenyataan menteri berhubung semakan gaji 2026 bagi pemegang jawatan politik pada 10 September.
Pejabat Mayor di Singapura merangkumi lima Mayor yang terdiri daripada Anggota Parlimen (AP) dan mereka berkhidmat kepada penduduk di lima daerah berbeza. Setiap mayor juga Pengerusi CDC di daerah berkenaan.
Cik Low Yen Ling adalah Pengerusi Jawatankuasa Mayor dan Mayor CDC South West; Mayor CDC North East adalah Encik Baey Yam Keng; Mayor CDC South East adalah Encik Dinesh Vasu Dash; Mayor CDC Central merupakan Cik Denise Phua; dan Mayor CDC North West adalah Encik Alex Yam.
CDC bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah, pertubuhan akar umbi, pertubuhan kebajikan sukarela, dan rakan kongsi daripada sektor awam serta swasta bagi menyokong dasar nasional dan berinteraksi dengan penduduk.
Di bawah kerangka gaji politik baharu, gaji tahunan keseluruhan Mayor yang disemak, sekiranya mereka mendapat kenaikan maksimum sebanyak sembilan peratus, ialah $720,000 berbanding $660,000 pada masa ini.
Encik Wong berkata sebagai Perdana Menteri, beliau akan membuat pertimbangan yang sewajarnya, memutuskan siapa yang perlu dilantik dan dinaikkan pangkat, tanggungjawab apa yang perlu diamanahkan kepada Mayor, dan bagaimana prestasi Mayor harus diiktiraf.
“Saya bertanggungjawab ke atas keputusan-keputusan ini.”
