SHENZHEN: Singapura dan China telah memulakan rundingan untuk menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kedua-dua negara, sedang Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Presiden China, Encik Xi Jinping, menyeru kerjasama dua hala yang lebih erat di tengah-tengah ketidaktentuan global yang semakin meningkat.

Kedua-dua pemimpin itu bertemu pada 20 November di Kylin Villa, sebuah rumah tamu negara yang terletak di tepi tasik di Shenzhen, China.

“Hubungan antara kedua-dua negara kita telah lama terjalin atas dasar persahabatan dan kerjasama erat, malah hubungan ini terus diperkukuh meskipun persekitaran antarabangsa semakin rumit,” kata Encik Wong semasa pertemuan tersebut.

Encik Xi berkata China dan Singapura harus memperkukuh komunikasi strategik dan kerjasama ketika dunia sedang mengalami perubahan besar, dengan kemajuan teknologi turut mengubah landskap pelbagai industri.

“Kita boleh memberikan sumbangan positif kepada kemakmuran dan kestabilan antarabangsa serta serantau,” katanya.

Kedua-dua pemimpin mengalu-alukan pelancaran rundingan bagi menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas China-Singapura (CSFTA) 4.0, yang akan meneroka kerjasama lebih luas dalam bidang seperti ekonomi digital dan perolehan pemerintah, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 20 November.

Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) berkata usaha menaik taraf perjanjian itu bertujuan membuka peluang pasaran baru dan memudahkan syarikat Singapura menjalankan perniagaan di China.

Satu Memorandum Persefahaman (MOU) bagi memulakan rundingan tersebut telah ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dan Menteri Perdagangan China, Encik Wang Wentao, menurut METI.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

CSFTA, yang mula berkuat kuasa pada 2009, merupakan perjanjian perdagangan bebas dua hala menyeluruh pertama China dengan sebuah negara Asia.

Perjanjian itu telah melalui beberapa proses naik taraf, dengan yang terbaru berkuat kuasa pada 2024.

Perjanjian tersebut menjadi salah satu tonggak utama hubungan ekonomi antara kedua-dua negara, dengan China merupakan rakan dagangan barangan terbesar Singapura dari 2013 hingga 2024.

Perdagangan barangan dua hala mencecah $162.9 bilion pada 2025, merangkumi 11.7 peratus daripada keseluruhan perdagangan barangan Singapura.

Singapura juga merupakan sumber terbesar pelaburan langsung asing (FDI) ke China berdasarkan aliran tahunan sejak 2013.

Selain FTA, Encik Xi turut menggesa kerjasama lebih mendalam di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan atau ‘Belt and Road’ (BRI), pelaksanaan lebih berkesan projek utama dua hala serta inisiatif baru dalam bidang seperti ekonomi digital, pembangunan hijau dan kecerdasan buatan (AI), menurut agensi berita rasmi China, Xinhua.

Beliau berkata usaha tersebut akan membantu menjadikan kerjasama dua hala lebih inovatif, dipacu teknologi dan mampan dari segi alam sekitar.

Encik Xi turut menggesa kedua-dua negara memperkukuh kepercayaan politik, menghormati laluan pembangunan masing-masing serta meningkatkan pertukaran pandangan mengenai tadbir urus dan hubungan antara parti politik, lapor Xinhua.

Singapura dan China menjalin hubungan diplomatik pada 1990 dan meningkatkan hubungan mereka kepada Perkongsian Menyeluruh Bermutu Tinggi Berorientasikan Masa Depan pada 2023.

Hubungan ekonomi kedua-dua negara turut disokong oleh tiga projek kerjasama antara pemerintah yang telah lama dilaksanakan, iaitu Taman Perindustrian Suzhou, Bandar Eko Tianjin dan Inisiatif Ketersambungan Chongqing.

Kedua-dua negara juga mempunyai wadah kerjasama di peringkat wilayah dan bandar.

Pertemuan selama 25 minit di Kylin Villa itu merupakan sidang puncak dua hala ketiga antara kedua-dua pemimpin sejak Encik Wong mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Mei 2024.

Encik Wong mengucapkan tahniah kepada Encik Xi atas kejayaan China menganjurkan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), yang menyaksikan pemimpin daripada 21 ekonomi membincangkan usaha memperkukuh integrasi ekonomi serantau, memanfaatkan inovasi serta menggalakkan pertumbuhan yang mampan dan inklusif.

“Perbincangan kita diadakan pada masa yang tepat, khususnya penekanan China terhadap keterbukaan, inovasi dan kerjasama,” kata Encik Wong.

Pada sidang itu, Encik Wong telah memberi amaran agar rantau Asia-Pasifik tidak dibiarkan berpecah kepada blok ekonomi yang saling bersaing.

Beliau sebaliknya menekankan kepentingan kerjasama ekonomi yang pragmatik dalam sebuah rantau yang semakin berdepan perpecahan akibat persaingan strategik.

Semasa pertemuannya dengan Encik Xi, beliau turut mengalu-alukan sumbangan China dalam menangani cabaran global dan menyatakan sokongan terhadap wawasan luas negara itu untuk membina sebuah “masyarakat dengan masa depan bersama”, menurut MFA.

Singapura kini merupakan anggota Kumpulan Sahabat bagi Inisiatif Pembangunan Global China dan akan turut menyertai Kumpulan Sahabat bagi Inisiatif Tadbir Urus Global (GGI) negara itu, tambah MFA.

GGI, yang dicadangkan Encik Xi pada 2025, bertujuan memperbaharui sistem tadbir urus antarabangsa, termasuk memberi negara membangun suara yang lebih besar serta memperkukuh peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Inisiatif itu menekankan penghormatan terhadap kedaulatan negara, undang-undang antarabangsa dan kerjasama pelbagai hala, sekali gus mencerminkan hasrat China untuk memainkan peranan lebih besar dalam membentuk peraturan dan institusi global.

Encik Wong turut mengucapkan tahniah kepada Encik Xi atas sidang kemuncak tiga hala bersejarah antara China, Amerika Syarikat dan Russia.

“Dialog sedemikian amat berharga kerana ia menyumbang kepada persefahaman, keamanan dan kestabilan yang lebih baik bagi seluruh dunia,” katanya.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan perkembangan di Selat Taiwan.

Encik Wong menegaskan semula dasar “Satu China” Singapura yang telah lama diamalkan secara konsisten, selain menyampaikan pendirian negara yang menentang kemerdekaan Taiwan dan sebarang tindakan sepihak untuk mengubah keadaan sedia ada, menurut MFA.

Kementerian itu menambah bahawa Singapura akan terus menyokong perkembangan hubungan secara aman antara kedua-dua belah Selat Taiwan.

Menyentuh hal ehwal serantau, Encik Wong turut memaklumkan Encik Xi mengenai keutamaan Singapura apabila mengambil alih jawatan Pengerusi Asean pada 2027, termasuk memperkukuh integrasi serantau dan daya tahan rantaian bekalan.

Beliau berharap dapat memperdalam kerjasama Asean-China dalam menangani cabaran bersama, seperti meningkatkan keselamatan tenaga serantau menerusi Grid Tenaga Asean, iaitu satu inisiatif untuk menghubungkan rangkaian elektrik di seluruh Asia Tenggara, menurut MFA.

Encik Xi turut menggesa penyelarasan lebih erat antara Singapura dengan China dalam wadah pelbagai hala, termasuk APEC dan mekanisme Asean-China, bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau, lapor Xinhua.

Encik Xi menarik perhatian bahawa lawatan itu merupakan kunjungan kedua Encik Wong ke China pada tahun ini, dengan kekerapan tersebut “menunjukkan betapa pentingnya hubungan China-Singapura kepada anda”.

Beliau berkata beliau gembira kerana pertukaran dan kerjasama antara kedua-dua negara sepanjang tahun lalu telah menghasilkan manfaat nyata kepada rakyat masing-masing.

Perbincangan dua hala itu berlangsung menjelang mesyuarat ke-22 Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC), yang dijangka diadakan di Singapura pada akhir November.

JCBC merupakan mekanisme dua hala peringkat tertinggi untuk menilai kerjasama serta menetapkan hala tuju strategik hubungan antara kedua-dua negara.

Encik Wong berlepas dari Shenzhen ke Beijing pada 20 November.