Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong tiba di lapangan terbang baru Sydney naik penerbangan sulung SIA
PM Wong tiba di lapangan terbang baru Sydney naik penerbangan sulung SIA
CANBERRA: Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, menjadi pemimpin luar negara pertama yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Western Sydney pada 23 November, menaiki penerbangan sulung Singapore Airlines (SIA) yang disambut dengan pancutan air meriam.
Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, menyifatkan ketibaan Encik Wong di lapangan terbang baharu itu sebagai “babak terbaharu” dalam persahabatan antara kedua-dua negara, dengan ketersambungan udara yang dipertingkatkan itu mencerminkan hubungan ekonomi dua hala yang erat.
Encik Wong sedang melakukan lawatan rasmi selama tiga hari ke Australia – dari 23 hingga 25 November.
Dari Sydney, beliau meneruskan perjalanan ke Canberra menjelang majlis sarapan pada 24 November yang dihoskan oleh Encik Albanese di The Lodge, kediaman rasmi Perdana Menteri Australia.
Kedua-dua pemimpin itu kemudiannya akan mempengerusikan bersama Mesyuarat Pemimpin Tahunan Singapura-Australia ke-11.
Penerbangan sulung itu menandakan pelancaran perkhidmatan harian baharu SIA ke Western Sydney, sekali gus memberikan pelancong satu lagi pintu masuk ke bandar terbesar di Australia itu.
Perkhidmatan baharu itu melengkapkan empat penerbangan harian sedia ada syarikat penerbangan tersebut ke Lapangan Terbang Sydney Kingsford Smith, yang mengenakan perintah berkurung waktu malam dari 11 malam hingga 6 pagi.
Lapangan Terbang Antarabangsa Western Sydney beroperasi sepanjang masa, sekali gus memberikan syarikat penerbangan fleksibiliti yang lebih besar untuk menjadualkan penerbangan.
Lapangan terbang itu telah memulakan penerbangan penumpang komersial pada 25 Oktober.
Menurut satu laporan The Straits Times (ST) pada 23 November, Encik Albanese menyifatkan Encik Wong sebagai rakan baik Australia, ketika beliau bercakap kepada wartawan di Canberra pada hari tersebut.
Beliau menambah, kehadiran pemimpin Singapura itu dalam penerbangan sulung tersebut menekankan kepentingan lapangan terbang baharu itu.
“Itu satu kelebihan besar, dan ia menunjukkan betapa pentingnya prasarana ini apabila Encik Lawrence Wong turut menaiki penerbangan tersebut,” kata Encik Albanese, yang telah memperjuangkan pembinaan lapangan terbang itu sejak beliau menggesa agar sebuah lapangan terbang kedua dibina di Sydney dalam ucapan sulungnya sebagai Anggota Parlimen pada 1996.
Pemerintah Australia telah membahaskan keperluan dan lokasi yang sesuai bagi lapangan terbang kedua di Sydney selama beberapa dekad, dengan tapak lapangan terbang baharu di Badgerys Creek mula dicadangkan oleh sebuah jawatankuasa penasihat persekutuan pada 1969.
Tapak tersebut disahkan secara rasmi pada 2014, dan pembinaannya bermula pada 2018.
Dalam satu kenyataan daripada pejabatnya pada 22 November, Encik Albanese berkata beliau menantikan perbincangan dengan Encik Wong mengenai cara untuk kedua-dua negara memperluaskan perkongsian mereka, meningkatkan peluang pelaburan, serta memperkukuh kerjasama teknologi.
Menjawab pertanyaan ST, SIA berkata Sydney secara tradisinya merupakan pasaran dengan permintaan perjalanan yang kukuh.
Kapasiti pelepasan lewat malam dan kemudahan terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Western Sydney akan membolehkan penumpang membuat penerbangan sambungan melalui Lapangan Terbang Changi ke lebih 135 destinasi yang dikendalikan oleh Kumpulan SIA, katanya.
Perkhidmatan baharu SQ262 itu akan berlepas dari Western Sydney pada 11.55 malam dan tiba di Singapura pada 5.15 pagi keesokan harinya.
SIA, yang merupakan syarikat penerbangan antarabangsa pertama yang komited untuk berkhidmat di lapangan terbang itu pada 2024, berkata perkhidmatan baharu tersebut menawarkan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada pelancong di Greater Sydney dan kawasan sekitarnya.
Dengan penambahan itu, SIA akan berkhidmat di sebanyak lapan lapangan terbang di Australia.