Pemeriksaan ke atas pokok di Sentosa sedang dipertingkatkan di tengah-tengah perubahan corak iklim, termasuk musim tengkujuh yang berpanjangan, peningkatan hujan dan kejadian cuaca ekstrem lain dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Langkah-langkah dipertingkatkan, yang diperkenalkan pada November 2023, termasuk memeriksa pokok dan mencantasnya dengan lebih kerap, terutamanya di kawasan yang mempunyai tahap lalu lintas manusia yang tinggi dan pokok terdedah kepada angin kencang.
Jurucakap Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) berkata setakat ini pada 2024, terdapat empat kes pokok tumbang dan 11 kejadian dahan tumbang di Sentosa telah dilaporkan berpunca daripada cuaca buruk dan hujan lebat.
Dalam satu kejadian baru-baru ini, dahan pokok tumbang ke atas jalan di Gunner Lane pada 28 Mei, kata jurucakap itu.
Tiada orang cedera, dan tiada harta benda rosak. Tetapi, tambahnya, rakaman video yang disiarkan di media sosial menunjukkan dahan itu telah menghadang jalan keluar di sebelah restoran Yue Private Dining.
Para pakar memberi amaran perubahan corak cuaca akibat perubahan iklim boleh menyebabkan lebih banyak kejadian pokok tumbang atau dahan patah. Angin lebih kuat dan hujan lebih lebat, misalnya, boleh mengakibatkan lebih banyak pokok tumbang.
Alat teknologi seperti penderia kecondongan pokok digunakan untuk memantau pergerakan dan kestabilan pokok, kata jurucakap SDC.
Penderia ini membantu mengesan apabila pokok mula condong lebih awal dan berisiko tumbang selepas menjadi lemah secara beransur-ansur selama bertahun-tahun.
Pengesanan awal boleh membuka jalan kepada langkah pencegahan seperti memperbaiki keadaan tanah dan mencantas pokok.
Strategi lain adalah menanam lebih banyak spesies pokok asli, yang lebih baik disesuaikan dengan corak cuaca dan keadaan iklim tempatan.
Lembaga Taman Negara (NParks) telah menggiatkan usaha untuk memastikan kesihatan pokok di kawasan awam sejak awal 2000-an, termasuk melaksanakan langkah bagi melindungi pokok daripada cuaca keterlaluan yang disebabkan oleh perubahan iklim.
Menjawab pertanyaan The Straits Times, jurucakap NParks berkata pada 2024, terdapat hampir 140 “insiden pokok” setakat ini, termasuk kes yang dilaporkan mengenai pokok tumbang dan dahan.
Kejadian sebegini berkemungkinan menyebabkan halangan di kawasan bandar.
NParks menguruskan kira-kira enam juta pokok di Singapura, daripada jumlah keseluruhan kira-kira tujuh juta pokok.
Terdapat purata tahunan kira-kira 400 kejadian pokok di Singapura sejak lima tahun lalu, yang kebanyakannya kejadian melibatkan dahan pokok yang patah, kata NParks.
Ini merupakan penurunan hampir 87 peratus berbanding dengan 3,100 insiden yang dilaporkan pada 2001.
Pada 2023, terdapat 430 kes, turun daripada 480 kes pada 2022, kata pengarah kumpulan landskap jalan NParks, Encik Oh Cheow Sheng.
Beliau berkata:
“Sebagai menjangkakan cabaran yang ditimbulkan oleh perubahan iklim, NParks komited untuk mengekalkan program pengurusan pokok kami yang komprehensif, yang melibatkan rejimen pemeriksaan dan pemangkasan yang mantap, untuk menangani potensi kelemahan pokok secara proaktif dan meningkatkan daya tahan keseluruhan kawasan hijau bandar kita.”
Menurut V3 – kajian perubahan iklim negara ketiga Singapura, diterbitkan pada Januari 2024 – kelajuan angin boleh meningkat sehingga 20 peratus menjelang akhir abad ini, manakala corak hujan dijangka mengalami perubahan yang lebih drastik.
Hujan harian yang melampau dijangka meningkat merentasi semua musim. Kenaikan itu berkemungkinan berkisar antara 6 peratus hingga 92 peratus pada bulan antara monsun April dan Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg