DUA poliklinik baru dibuka di Bukit Panjang dan Kallang pada Sabtu (2 Oktober), dengan setiap daripadanya ditempatkan bersama kemudahan berkaitan.
Poliklinik Bukit Panjang disepadukan dengan rumah rawatan warga emas sementara Poliklinik Kallang bertempat di lokasi yang sama dengan unit pesakit kronik.
Sedang Poliklinik Bukit Panjang mempunyai 365 katil dan 60 ruang jagaan hari yang disediakan buat warga emas, Poliklinik Kallang memiliki 128 katil bagi kegunaan pesakit yang sudah sampai ke peringkat kondisi perubatan kronik lanjutan dan sulit yang memerlukan rawatan jangka panjang dan jagaan perubatan yang kerap dijalankan.
Poliklinik ketiga di Eunos dijangka dibuka pada Disember dan akan ditempatkan bersama pusat jagaan warga emas.
"Dengan menempatkan poliklinik bersama kemudahan jagaan kesihatan atau kemudahan kemasyarakatan yang termasuk kemudahan seperti pusat sukan, kami membuka peluang bagi menjalankan program bersama yang memenuhi jagaan menyeluruh dan memperbaiki kesihatan penduduk di sini," jelas Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, ketika ditemui di acara pembukaan Poliklinik Bukit Panjang pada Sabtu (2 Oktober).
Poliklinik Bukit Panjang mengisi ruang tiga tingkat pada bangunan 12 tingkat dan adalah yang pertama disepadukan bersama rumah rawatan warga emas.
Singapura kini mempunyai 22 poliklinik.
Encik Ong juga mengumumkan bahawa Poliklinik Bukit Merah dan Outram akan disatukan bagi membina poliklinik lebih besar dan luas di Tiong Bahru menjelang 2030. Poliklinik ini akan dilengkapi dengan kemudahan dengan keupayaan lebih luas bagi lebih dapat berkhidmat buat penduduk. Ini termasuk ciri-ciri mesra warga emas dan mudah diakses buat mereka.
Lagi sembilan poliklinik akan dibuka dalam masa sembilan tahun akan datang, kesemuanya dengan pembangunan bersepadu, jelas Encik Ong.
Ia disejajarkan dengan rancangan Kementerian Kesihatan (MOH) memperluas rangkaian poliklinik Singapura kepada 32 poliklinik menjelang 2030.
Mengenai rancangan mempunyai poliklinik dengan kemudahan berkaitan ditempatkan bersama, Encik Ong memberi contoh Poliklinik Sembawang, yang merupakan sebahagian hab masyarakat Bukit Canberra. Ia akan ditempatkan bersama kemudahan sukan seperti kolam renang, gimnasium, dewan sukan tertutup, taman dan pusat gerai makanan.
Beliau menembah jagaan asas yang disediakan buat masyarakat "harus kian menerajui jagaan kesihatan kita".
"Kita beroperasi di balik latar penduduk yang kian menua dan tambahan penyakit kronik yang datang seiring.
"Justeru, kita perlu mengalihkan tumpuan haluan jagaan kesihatan kita bagi jagaan pencegahan dalam masyarakat pada peringkat jagaan asas, maka dengan cara itu, kita dapat mengendalikan pengurusan penyakit pada peringkat awal bagi mengurangkan komplikasi kesihatan hiliran...Ini adalah sesuatu yang kita harus lakukan sedang penduduk kita menua," ujar Encik Ong.
Beliau menambah kebimbangannya adalah apabila seorang pesakit perlu mengunjungi hospital kerana penyakit kronik yang teruk, "sudah terlalu lambat, terlampau mahal dan terlalu berat bebanan yang perlu dipikul keluarganya serta yang perlu ditangani sistem jagaan kesihatan kita secara menyeluruh".
Poliklinik juga akan secara beransur-ansur melaksanakan model baru jagaan seperti jagaan berdasarkan pasukan di mana pesakit kronik akan diuruskan pasukan jagaan biasa dan berbilang disiplin.
"Dengan membenarkan pasukan jagaan yang sama menangani pesakit, terdapat kesinambungan dan lebih penting lagi, ia membangun hubungan dan kepercayaan antara pesakit dengan pasukan jagaan mereka," jelas Encik Ong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg